Ilmu pengetahuan zahir mengenai benda-benda yang nyata
dibahagikan kepada dua belas bahagian dan ilmu pengetahuan batin juga
dibahagikan kepada dua belas bahagian. Bahagian-bahagian tersebut
dibahagikan di kalangan orang awam dan orang khusus, hamba-hamba Allah yang
sejati, menurut kadar keupayaan dan kebolehan mereka.
Bagi tujuan yang berkaitan dengan kita pembicaraan ilmiah
mengenai ini dibuat dalam empat bahagian. Bahagian pertama melibatkan
peraturan agama, mengenai kewajipan dan larangan berhubung dengan
perkara-perkara dan peraturan-peraturan di dalam dunia ini. Kedua menyentuh
soal pengertian atau maksud dalaman serta tujuan kepada peraturan-peraturan
tersebut dan bahagian ini dinamakan bidang kerohanian iaitu pengetahuan
mengenai perkara-perkara yang tidak nyata. Ketiga mengenai hakikat
kerohanian yang tersembunyi yang dinamakan kearifan. Keempat mengenai
hakikat dalaman kepada hakikat iaitu mengenai kebenaran yang
sebenar-benarnya. Manusia yang sempurna perlu mempelajari semua bidang atau
bahagian tersebut dan mencari jalan ke arahnya.
Nabi s.a.w bersabda, “Agama ialah
pokok, kerohanian adalah dahannya, kearifan (makrifat) adalah daunnya,
kebenaran (hakikat) adalah buahnya. Quran dengan ulasannya, keterangannya,
terjemahannya dan ibarat-ibaratnya mengandungi semuanya itu”.
Di dalam buku al-Najma perkataan-perkataan tafsir, ulasan
dan takwil serta terjemahan melalui ibarat dimengertikan sebagai: ulasan
terhadap Quran adalah keterangan dan perincian bagi faedah kefahaman orang
awam, sementara terjemahan melalui ibarat adalah keterangan tentang maksud
yang tersirat yang boleh diselami melalui tafakur yang mendalam serta
memperolehi ilham sebagaimana yang dialami oleh orang-orang beriman yang
sejati. Terjemahan yang demikian adalah untuk hamba-hamba Allah yang khusus
lagi teguh, berterusan di dalam suasana kerohanian mereka dan teguh dengan
pengetahuan yang membolehkan mereka membuat pertimbangan yang benar. Kaki
mereka teguh berpijak di atas bumi sementara hati dan fikiran mereka
menjulang kepada ilmu ketuhanan. Dengan rahmat Allah keadaan berterusan
begini yang tidak bercampur dengan keraguan di tempatkan di tengah-tengah
hati mereka. Hati yang teguh dalam suasana ini bersesuaian dengan bahagian
kalimah tauhid “La ilaha illa Llah”, pengakuan terakhir keesaan.
“Dia jualah yang menurunkan Kitab kepada kamu. Sebahagiannya
adalah ayat-ayat yang menghukum, iaitu ibu-ibu bagi Kitab, dan (sebahagian)
yang lain adalah ayat-ayat yang perlukan takwil. Adapun orang-orang yang di
hati mereka ada kesesatan mencari-cari apa yang ditakwil daripadanya kerana
hendak membuat fitnah dan kerana hendak membuat takwilnya sendiri padahal
tidak mengetahui takwilnya melainkan Allah dan orang-orang yang teguh kuat
di dalam ilmu berkata, ‘Kami beriman kepadanya (kerana) semua itu daripada
Tuhan kami’, dan tidak mengerti melainkan orang-orang yang mempunyai
fikiran”. (Surah Imraan, ayat 7)
Jika pintu kepada ayat ini terbuka akan terbuka juga semua
pintu-pintu kepada alam rahsia batin.
Hamba Allah yang sejati berkewajipan melaksanakan
perintah-perintah-Nya dan menjauhkan diri daripada larangan-Nya. Dia juga
perlu menentang ego dirinya dan membendung kecenderungan jasad yang tidak
sehat. Asas penentangan ego terhadap agama adalah dalam bentuk khayalan dan
gambaran yang bercanggah dengan kenyataan. Pada peringkat kerohanian ego
yang khianat itu menggalakkan seseorang supaya memperakui dan mengikuti
sebab-sebab dan rangsangan yang hanya hampir dengan kebenaran (bukan
kebenaran yang sejati), walaupun ianya risalat nabi dan fatwa wali yang
telah diubah, juga mengikuti guru yang pendapatnya salah. Pada peringkat
makrifat ego cuba menggalakkan seseorang supaya memperakui kewalian dirinya
sendiri malah ego juga mengheret seseorang kepada mengakui ketuhanannya –
dosa paling besar menganggapkan diri sendiri sebagai bersekutu dengan
Allah. Allah berfirman:
“Tidakkah engkau perhatikan orang yang mengambil hawa
nafsunya sebagai tuhan..” (Surah Furqaan, ayat 43).
Tetapi peringkat kebenaran sejati adalah berbeza. Ego dan
iblis tidak boleh sampai ke sana. Malah malaikat juga tidak sampai ke sana.
Sesiapa sahaja kecuali Allah jika sampai ke sana pasti terbakar. Jibrail
berkata kepada Nabi Muhamamd s.a.w pada sempadan peringkat ini, “Jika aku
mara satu langkah lagi aku akan terbakar menjadi abu”.
Hamba Allah yang sejati bebas daripada perlawanan egonya dan
iblis kerana dia dilindungi oleh perisai keikhlasan dan kesucian.
“Ia (iblis) berkata: Oleh itu demi kemuliaan-Mu, aku akan
sesatkan mereka semuanya, kecuali di antara mereka hamba-hamba-Mu yang
dibersihkan”. (Surah Shad, ayat 82 & 83).
Manusia tidak dapat mencapai hakikat kecuali dia suci
murni kerana sifat-sifat keduniaannya tidak akan meninggalkannya
sehinggalah hakikat menyata dalam dirinya. Ini adalah keikhlasan sejati.
Kejahilannya hanya akan meninggalkannya bila dia menerima pengetahuan
tentang Zat Allah. Ini tidak dapat dicapai dengan pelajaran; hanya Allah
tanpa pengantaraan boleh mengajarnya. Bila Allah Yang Maha Tinggi sendiri
yang menjadi Guru, Dia kurniakan ilmu yang daripada-Nya sebagaimana Dia
lakukan kepada Khaidhir. Kemudian manusia dengan kesedaran yang
diperolehinya sampai kepada peringkat makrifat di mana dia mengenali
Tuhannya dan menyembah-Nya yang dia kenal.
Orang yang sampai kepada suasana ini memiliki penyaksian roh
suci dan dapat melihat kekasih Allah, Nabi Muhamamd s.a.w. Dia boleh
bercakap dengan baginda s.a.w mengenai segala perkara daripada awal hingga
ke akhirnya dan semua nabi-nabi yang lain memberikannya khabar gembira
tentang janji penyatuan dengan yang dikasihi. Allah menggambarkan suasana
ini:
“Kerana Barangsiapa taat kepada Allah dan rasul-Nya, maka
mereka beserta orang-orang yang diberi nikmat daripada nabi-nabi, siddiqin,
syuhada dan salihin dan Alangkah baiknya mereka ini sebagai sahabat rapat”.
(Surah Nisaa’ ,ayat 69).
Orang yang tidak boleh menemui pengetahuan ini di dalam
dirinya tidak akan menjadi arif walaupun dia membaca seribu buah buku.
Nikmat yang boleh diharapkan oleh orang yang mempelajari ilmu zahir ialah
syurga; di sana semua yang dapat dilihat adalah kenyataan sifat-sifat Ilahi
dalam bentuk cahaya. Tidak kira bagaimana sempurna pengetahuannya tentang
perkara nyata yang boleh dilihat dan dipercayai, ia tidak membantu
seseorang untuk masuk kepada suasana kesucian dan mulia, iaitu kehampiran
dengan Allah, kerana seseorang itu perlu terbang ke tempat tersebut dan
untuk terbang perlu kepada dua sayap. Hamba Allah yang sejati adalah yang
terbang ke sana dengan menggunakan dua sayap, iaitu pengetahuan zahir dan
pengetahuan batin, tidak pernah berhenti di tengah jalan, tidak tertarik
dengan apa sahaja yang ditemui dalam perjalanannya. Allah berfirman melalui
rasul-Nya:
“Hamba-Ku, jika kamu ingin masuk kepada kesucian berhampiran
dengan-Ku jangan pedulikan dunia ini ataupun alam tinggi para malaikat,
tidak juga yang lebih tinggi di mana kamu boleh menerima sifat-sifat-Ku
yang suci”.
Dunia kebendaan ini menjadi godaan dan tipu daya syaitan
kepada orang yang berilmu. Alam malaikat menjadi rangsangan kepada orang
yang bermakrifat dan suasana sifat-sifat Ilahi menjadi godaan kepada orang
yang memiliki kesedaran terhadap hakikat. Sesiapa yang berpuas hati dengan
salah satu daripada yang demikian akan terhalang daripada kurniaan Allah
yang membawanya hampir dengan Zat-Nya. Jika mereka tertarik dengan godaan
dan rangsangan tersebut mereka akan berhenti, mereka tidak boleh maju ke
hadapan, mereka tidak boleh terbang lebih tinggi. Walaupun matlamat mereka
adalah kehampiran dengan Pencipta mereka tidak lagi boleh sampai ke sana.
Mereka telah terpedaya, mereka hanya memiliki satu sayap.
Orang yang mencapai kesedaran tentang hakikat yang sebenar,
menerima rahmat dan kurniaan dari Allah yang tidak pernah mata melihatnya
dan tidak pernah telinga mendengarnya dan tidak pernah hati mengetahui
namanya. Inilah syurga kehampiran dan keakraban dengan Allah. Di sana tidak
ada mahligai permata juga tidak ada bidadari yang cantik sebagai pasangan.
Semoga manusia mengetahui nilai dirinya dan tidak berkehendak, tidak
menuntut apa yang tidak layak baginya. Saidina Ali r.a berkata, “Semoga
Allah merahmati orang yang mengetahui harga dirinya, yang tahu menjaga diri
agar berada di dalam sempadannya, yang memelihara lidahnya, yang tidak
menghabiskan masanya dan umurnya di dalam sia-sia”.
Orang yang berilmu mestilah menyedari bahawa bayi roh yang
lahir dalam hatinya adalah pengenalan mengenai kemanusiaan yang sebenar,
iaitu insan yang sejati. Dia patut mendidik bayi hati, ajarkan keesaan
melalui berterusan menyedari tentang keesaan – tinggalkan keduniaan
kebendaan ini yang berbilang-bilang, cari alam kerohanian, alam rahsia di
mana tiada yang lain kecuali Zat Allah. Dalam kenyataannya di sana bukan
tempat, ia tidak ada permulaan dan tidak ada penghujung. Bayi hati terbang
melepasi padang yang tiada berkesudahan itu, menyaksikan perkara-perkara
yang tidak pernah dilihat mata sebelumnya, tiada sesiapa bercerita
mengenainya, tiada sesiapa boleh menggambarkannya. Tempat yang menjadi
rumah kediaman bagi mereka yang meninggalkan diri mereka dan menemui
keesaan dengan Tuhan mereka, mereka yang memandang dengan pandangan yang
sama dengan Tuhan mereka, pandangan keesaan. Bila mereka menyaksikan
keindahan dan kemuliaan Tuhan mereka tidak ada apa lagi yang tinggal dengan
mereka. Bila dia melihat matahari dia tidak dapat melihat yang lain, dia
juga tidak dapat melihat dirinya sendiri. Bila keindahan dan kemurahan
Allah menjadi nyata apa lagi yang tinggal dengan seseorang? Tidak ada
apa-apa!
Nabi s.a.w
bersabda, “Seseorang perlu
dilahirkan dua kali untuk sampai kepada alam malaikat”. Ia adalah
kelahiran maksud daripada perbuatan dan kelahiran rohani daripada jasad.
Kemungkinan yang demikian ada dengan manusia. Ini adalah keanehan rahsia
manusia. Ia lahir daripada percampuran pengetahuan tentang agama dan
kesedaran terhadap hakikat, sebagaimana bayi lahir hasil daripada
percampuran dua titik air.
“Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia daripada setitik
(mani) yang bergiliran, yang Kami berikan percubaan kepada mereka, iaitu
Kami jadikan dia mendengar dan melihat”. (Surah Insaan, ayat 2).
Bila maksud menjadi nyata dalam kewujudan ia menjadi mudah
untuk melepasi bahagian yang cetek dan masuk ke dalam laut penciptaan dan
membenamkan dirinya ke dasar hukum-hukum peraturan Allah. Sekalian alam
kebendaan ini hanyalah satu titik jika dibandingkan dengan alam kerohanian.
Hanya bila semua ini difahamkan maka kuasa kerohanian dan cahaya keajaiban
yang bersifat ketuhanan, hakikat yang sebenar-benarnya, memancar ke dalam
dunia tanpa perkataan tanpa suara.
|