Lima
kali sehari semalam, pada masa yang telah ditentukan, sembahyang diwajibkan
kepada sekalian Muslim yang baligh dan berkuasa. Ini diperintahkan oleh
Allah:
"Kerjakan sembahyang dengan tetap dan akan sembahyang
yang terlebih penting". (Surah
al-Baqaraah, ayat 238).
Sembahyang
menurut peraturan agama (rukun sembahyang) terdiri daripada berdiri,
membaca Quran, rukuk, sujud, duduk, membaca dengan kedengaran beberapa doa.
Pergerakan dan perbuatan ini melibatkan bahagian-bahagian tubuh, pembacaan
diucap dan didengar melibatkan pancaindera dan deria, adalah sembahyang
diri zahir. Kerana tindakan diri zahir ini dilakukan berulang-ulang,
acapkali, di dalam setiap lima waktu sehari, bahagian pertama menurut
perintah Allah "Dirikan sembahyang", adalah lebih dari
satu.
Bahagian
kedua perintah Allah "terutamanya sembahyang pertengahan"
merujuk kepada sembahyang hati, kerana hati berada di tengah-tengah pada
kejadian manusia. Tujuan sembahyang ini adalah mendapatkan kesejahteraan
pada hati. Hati berada di tengah-tengah, antara kanan dengan kiri, antara
hadapan dengan belakang, antara atas dengan bawah, antara kebaikan dnegan
keburukan. Hati adalah pusat, titik pengimbang, penengah. Nabi s.a.w
bersabda,
"Hati
anak Adam berada di antara dua jari Yang Maha Penyayang. Dia balikkan ke
arah mana yang Dia kehendaki". Dua jari Allah adalah sifat kekerasan-Nya yang berkuasa
menghukum dan sifat keindahan-Nya dan pengasih-Nya yang memberi rahmat dan
nikmat.
Sembahyang
sebenar adalah sembahyang hati. Jika hati lalai daripada sembahyang, sembahyang
zahir tidak akan teratur. Bila ini terjadi kesejahteraan dan kedamaian diri
zahir yang diharapkan diperolehi daripada sembahyang zahir itu tidak
diperolehi. Sebab itu Nabi s.a.w bersabda, "Amalan sembahyang
mungkin dengan hati yang diam".
Sembahyang
adalah penyerahan yang dicipta kepada Pencipta. Ia adalah pertemuan di
antara hamba dengan Tuannya. Tempat pertemuan itu ialah hati. Jika hati
tertutup, lalai dan mati, begitu juga maksud sembahyang itu, tidak ada
kebaikan yang sampai kepada diri zahir daripada sembahyang yang demikian,
kerana hati adalah intipati atau hakikat atau zat bagi jasad, semua yang
lain bergantung kepadanya. Nabi s.a.w bersabda, "Ada sekeping
daging di dalam tubuh manusia, jika ia baik maka baiklah semua anggota
tetapi jika ia jahat maka jahat pula anggota. Ketahuilah, itulah
hati".
Sembahyang
yang diperintahkan oleh agama (syariat) dilakukan pada waktu tertentu, lima
kali sehari semalam. Sebaiknya dilakukan di dalam masjid secara berhemah,
menghadap ka'abah, mengikut imam yang tidak munafik dan tidak ria'.
Masa
untuk bersembahyang batin tidak mengira masa dan tidak berkesudahan, bagi
kehidupan ini dan juga akhirat. Masjid bagi sembahyang ini ialah hati.
Jemaahnya ialah bakat-bakat kerohanian, yang mengingat dan mengucapkan nama-nama
Allah Yang Esa di dalam bahasa alam batin. Imam sembahyang ini ialah
kehendak yang tidak dapat disekat, arah kiblatnya ialah keesaan Allah, yang
di mana-mana, dan keabadian-Nya dan keindahan-Nya.
Hati yang sejati adalah yang boleh melakukan sembahyang yang demikian. Hati
yang seperti ini tidak tidur dan tidak mati. Hati dan roh yang demikian
berada di dalam sembahyang yang berterusan, dan manusia yang memiliki hati
yang demikian, samada dia dalam jaga atau tidur, sentiasa berbuat
kebaktian. Sembahyang batin yang dilakukan oleh hati adalah keseluruhan
kehidupannya. Tiada lagi bunyi bacaan, berdiri, rukuk, sujud atau duduk.
Pembimbingnya, imam sembahyang itu adalah Rasulullah s.a.w sendiri. Baginda
berkata-kata dengan Allah Yang Maha Tinggi, "Engkau yang kami
sembah dan Engkau jualah yang kami minta pertolongan". (Surah Fatihaah, ayat 4). Ayat
suci ini ditafsirkan sebagai tanda manusia sempurna, yang melewati atau
melepasi dari menjadi kosong, hilang kepada segala kebendaan, kepada
suasana keesaan. Hati yang sempurna demikian menerima rahmat yang besar
daripada Ilahi. Satu daripada rahmat itu dinyatakan oleh Nabi s.a.w, "Nabi-nabi
dan yang dikasihi Allah meneruskan ibadat mereka di dalam kubur seperti
yang mereka lakukan di dalam rumah mereka ketika mereka hidup di dalam
dunia". Dalam lain perkataan kehidupan abadi hati meneruskan
penyerahan kepada Allah Yang Maha Tinggi.
Bila
sembahyang tubuh badan dan sembahyang diri batin berpadu, sembahyang itu
lengkap, sempurna. Ganjarannya besar. Ia membawa seseorang secara
kerohanian kepada kehampiran dengan Allah, dan secara zahir kepada
peringkat yang paling tinggi mampu dicapai. Dalam alam kenyataan mereka
menjadi hamba Allah yang taat. Suasana dalaman pula mereka adalah orang
arif yang memperolehi makrifat sebenar tentang Allah. Jika sembahyang zahir
tidak bersatu dengan sembahyang batin, ia adalah kekurangan. Ganjarannya
hanyalah pada pangkat atau kedudukan, tidak membawa seseorang hampir dengan
Allah.
|