Dua jenis penyucian: Pertama zahir, ditentukan oleh
peraturan agama dan dilakukan dengan membasuh tubuh badan dengan air yang
bersih. Keduanya ialah penyucian batin, diperolehi dengan menyedari
kekotoran di dalam diri, menyedari dosanya dan bertaubat dengan ikhlas.
Penyucian batin memerlukan perjalanan kerohanian dan dibimbing oleh guru
kerohanian.
Menurut hukum dan peraturan agama, seseorang menjadi tidak
suci dan wuduk menjadi batal jika keluar sesuatu dari rongga badan. Ini
perlu diperbaharui dengan wuduk. Dalam hal keluar mani dan darah haid mandi
wajib diperlukan. Dalam hal lain, bahagian tubuh yang terdedah - tangan,
lengan, muka dan kaki - mesti dibasuh. Mengenai pembaharuan wuduk Nabi
s.a.w bersabda, "Pada setiap pembaharuan wuduk Allah perbaharui kepercayaan
hamba-Nya yang cahaya iman digilap dan memancar dengan lebih
bercahaya". Dan, "Mengulangi bersuci dengan wuduk adalah
cahaya di atas cahaya".
Kesucian batin juga boleh hilang, mungkin lebih kerap
daripada kesucian zahir, dengan sifat buruk, buruk perangai, perbuatan dan
sifat yang merosakkan seperti sombong, takabur, menipu, mengumpat, fitnah,
dengki dan marah. Perbuatan secara sedar dan tidak sedar memberi kesan
kepada roh: mulut yang memakan makanan haram, bibir yang berdusta, telinga
yang mendengar umpatan dan fitnah, tangan yang memukul, kaki yang membawa
kepada kejahatan. Zina, yang juga satu dosa, bukan sahaja dilakukan di atas
katil. Nabi s.a.w bersabda, "Mata juga berzina".
Bila kesucian batin ditanamkan demikian dan wuduk kerohanian
batal, membaharui wuduk demikian adalah dengan taubat yang ikhlas, yang
dilakukan dengan menyedari kesalahan sendiri, dengan penyesalan yang
mendalam disertai oleh tangisan (yang menjadi air yang membasuh kekotoran
jiwa), dengan berazam tidak akan mengulangi kesalahan tersebut, berhasrat
meninggalkan semua kesalahan, dengan memohon keampunan Allah, dan dengan
berdoa agar Dia mencegahnya daripada melakukan dosa lagi.
Sembahyang adalah menghadap Tuhan. Berwuduk, berada di dalam
keadaan suci, menjadi syarat untuk bersembahyang. Orang arif tahu penyucian
zahir sahaja tidak memadai, kerana Allah melihat jauh ke dalam lubuk hati,
yang perlu diberi wuduk dengan cara bertaubat. Firman Allah:
"Inilah apa yang dijanjikan untuk kamu, untuk tiap-tiap orang yang
bertaubat, yang menjaga (batas-batas)". (Surah Qaaf, ayat 32).
Penyucian tubuh dan wuduk zahir terikat dengan masa kerana
tidur membatalkan wuduk. Penyucian ini terikat dengan siang dan malam bagi
kehidupan di dalam dunia. Penyucian alam batin, wuduk bagi diri yang tidak
kelihatan, tidak ditentukan oleh masa. Ia untuk seluruh kehidupan - bukan
sahaja kehidupan sementara di dunia tetapi juga kehidupan abadi di akhirat.
|