Allah Yang Maha Tinggi menciptakan roh suci sebagai ciptaan
yang paling sempurna, yang pertama diciptakan, di dalam alam kewujudan
mutlak bagi Zat-Nya. Kemudian Dia berkehendak menghantarkannya kepada alam
rendah. Tujuan Dia berbuat demikian ialah bagi mengajar roh suci mencari
jalan kembali kepada yang sebenar di tahap Maha Kuasa, mencari kedudukannya
yang dahulu yang hampir dan akrab dengan Allah. Dihantarkan-Nya roh suci
kepada perhentian utusan-utusan-Nya, wali-wali-Nya, kekasih-kekasih dan
sahabat-sahabat-Nya. Dalam perjalanannya, Allah menghantarkannya mula-mula
kepada kedudukan akal asbab bagi keesaan, bagi roh universal, alam
nama-nama dan sifat-sifat Ilahi, alam hakikat kepada Muhammad s.a.w. Roh
suci memiliki dan membawa bersama-samanya benih kesatuan. Apabila melalui
alam ini ia dipakaikan cahaya suci dan dinamakan ‘roh sultan’. Apaabila
melalui alam malaikat yang menjadi perantaraan kepada mimpi-mimpi, ia
mendapat nama ‘roh perpindahan’. Bila akhirnya ia turun kepada dunia
kebendaan ini ia dibaluti dengan daging yang Allah ciptakan untuk
kesesuaian makhluk-Nya. Ia dibaluti oleh jirim yang kasar bagi
menyelamatkan dunia ini kerana dunia kebendaan jika berhubung secara
langsung dengan roh suci maka dunia kebendaan akan terbakar menjadi abu.
Dalam hubungannya dengan dunia ini ia dikenali sebagai kehidupan, roh
manusia.
Tujuan roh suci dihantar ke tempat ciptaan yang paling rendah
ini ialah supaya ia mencari jalan kembali kepada kedudukannya yang asal,
makam kehampiran, ketika ia masih di dalam bentuk berdaging dan bertulang
ini. Ia sepatutnya datang ke alam benda yang kasar ini, dan dengan melalui
hatinya yang berada di dalam mayat ini, menanamkan benih kesatuan dan
menunbuhkan pokok keesaan di dalam dunia ini. Akar pokok masih berada pada
tempat asalnya. Dahannya memenuhi ruang kebahagiaan, dan di sana demi
keredaan Allah, mengeluarkan buah kesatuan. Kemudian di dalam bumi hati roh
itu menanamkan benih agama dan bercita-cita menumbuhkan pokok agama agar
diperolehi buahnya, tiap satunya akan menaikkannya kepada peringkat yang
lebih hampir dengan Allah.
Allah membuatkan jasad-jasad atau tubuh-tubuh untuk dimasuki
oleh roh-roh dan bagi roh-roh ini masing-masing mempunyai nama yang
berbeza-beza. Dia bena ruang penyesuaian di dalam tubuh. Diletakkan-Nya roh
manusia, roh kehidupan di antara daging dan darah. Diletakkan-Nya roh suci
di tengah-tengah hati, di mana dibena ruang bagi jirim yang sangat seni
untuk menyimpan rahsia di antara Allah dengan hamba-Nya. Roh-roh ini berada
pada tempat yang berbeza-beza dalam tubuh, dengan tugas yang berbeza,
urusan yang berbeza, masing-masing umpama membeli dan menjual barang yang
berlainan, mendapat faedah yang berbeza. Perniagaan mereka sentiasa
membawakan kepada mereka banyak manfaat dalam bentuk nikmati dan rahmat
Allah.
“Daripada apa yang Kami berikan kepada mereka, secara
sembunyi atau terang-terang, (mereka) mengharapkan perniagaan yang tidak
akan rugi”. (Surah Fatir, ayat 29).
Layaklah bagi setiap manusia mengetahui urusannya di dalam
alam kewujudan dirinya sendiri dan memahami tujuannya. Dia mestilah faham
bahawa dia tidak boleh meminda apa yang telah dihukumkan sebagai benar
untuknya dan digantungkan dilehernya. Bagi orang yang mahu meminda apa yang
telah dihukumkan untuknya, yang terikat dengan cita-cita dan dunia ini
Allah berkata:
“Tidaklah (mahu) dia ketahui (bagaimana keadaan) apabila
dibongkarkan apa-apa yang di dalam kubur? Dan dizahirkan apa-apa yang di
dalam dada?” (Surah ‘Aadiyat, ayat 9).
“Dan tiap-tiap manusia Kami gantungkan (catatan) amalannya pada
tengkuknya…” (Surah Bani Israil, ayat 13).
|