Doa dan zikir berhubung
jalan suluk
Sesiapa yang memilih untuk memisahkan dirinya daripada dunia
supaya dia dapat menghampiri Allah hendaklah tahu ibadat-ibadat seperti doa
dan zikir yang sesuai untuk tujuan tersebut. Melakukan ibadat tersebut
memerlukan suasana yang suci dan sebaik-baiknya berada di dalam keadaan
berpuasa. Bilik khalwat biasanya berhampiran dengan masjid kerana syarat
bagi salik perlu meninggalkan bilik khalwatnya lima kali sehari bagi
mengerjakan sembahyang berjemaah dan pada ketika tersebut hendaklah menjaga
dirinya agar tidak menonjol, menyembunyikan diri dan tidak berkata-kata
walau sepatah perkataan pun. Sesiapa yang di dalam suluk hendaklah
mengambil langkah tegas untuk lebih menghayati dan mematuhi
prinsip-prinsip, dasar-dasar dan syarat-syarat sembahyang berjemaah.
Setiap malam, ketika tengah malam, salik mestilah bangun
untuk mengerjakan sembahyang tahajjud, yang bermaksud suasana jaga
sepenuhnya di tengah-tengah tidur. Sembahyang tahajjud membawa symbol
kebangkitan setelah mati. Bila seseorang berjaya bangun untuk melakukan
sembahyang tahajjud dia adalah Pemilik hatinya dan pemikirannya bersih.
Agar suasana jaga ini tidak rosak dia tidak seharusnya melibatkan diri
dengan kegiatan harian seperti makan dan minum.
Sebaik sahaja bangun dengan menyedari dibangkitkan daripada
kelalaian kepada kesedaran, ucapkan:
“Alhamduli-Llahi
ahyani ba’da ma amatani wa-ilaihin-nusyur- Segala puji bagi Allah yang
membangkitkan daku setelah mengambil hidupku. Selepas mati semua akan
dibangkitkan dan kembali kepada-Nya”.
Kemudian bacakan sepuluh ayat terakhir surah al-‘Imraan, iaitu
ayat 190 – 200. Selepas itu mengambil wuduk dan berdoa:
“Kemenangan untuk Allah! Segala puji untuk-Mu. Tidak ada yang
lain daripada-Mu yang layak menerima ibadat. Daku bertaubat dari dosaku.
Ampuni dosaku, maafkan kehadiranku, terimalah taubatku. Engkau Maha
Pengampun, Engkau suka memaafkan. Wahai Tuhanku! Masukkan daku ke dalam
golongan mereka yang menyedari kesalahan mereka dan masukkan daku ke dalam golongan
hamba-hamba-Mu yang salih yang memiliki kesabaran, yang bersyukur, yang
mengingati Engkau dan yang memuji Engkau malam dan siang”.
Kemudian dongakkan pandangan ke langit dan buat pengakuan:
“Aku
naik saksi tiada Tuhan melainkan Allah, Esa, tiada sekutu, dan aku naik
saksi Muhamamd adalah hamba Allah dan Rasul-Nya. Daku berlindung dengan keampunan-Mu
daripada azab-Mu. Daku berlindung dengan keredaan-Mu daripada murka-Mu.
Daku berlindung dengan-Mu daripada-Mu. Aku tidak mampu mengenali-Mu
sebagaimana Engkau kenali Diri-Mu. Aku tidak mampu memuji-Mu selayaknya.
Daku adalah hamba-Mu, daku adalah anak kepada hamba-Mu. Dahiku yang di
atasnya Engkau tuliskan takdir adalah dalam tangan-Mu. Perintah-Mu berlari
menerusi daku. Apa yang Engkau tentukan untukku adalah baik bagiku. Daku
serahkan kepada-Mu tanganku dan kekuatan yang Engkau letakkan padanya. Daku
buka diriku di hadapan-Mu, mendedahkan semua dosaku. Tiada Tuhan kecuali
Engkau, dan Engkau Maha Pengampun, aku yang zalim, aku yang berbuat
kejahatan, daku menzalimi diriku. Untukku kerana daku adalah hamba-Mu
ampunkan dosa-dosaku. Engkau jualah Tuhan, hanya Engkau yang boleh
mengampunkan”.
Kemudian menghadap ke arah kiblat dan ucapkan:
“Allah Maha Besar! Segala puji untuk-Nya. Aku ingat dan
membesarkan-Nya”.
Kemudian ucapkan sepuluh kali:
“Segala kemenangan buat Allah”.
Kemudian ucapkan sepuluh kali:
“Segala puji dan syukur untuk Allah”.
Kemudian ucapkan sepuluh kali:
“Tiada Tuhan melainkan Allah”.
Kemudian lakukan sembahyang sepuluh rakaat, dua rakaat satu
salam. Nabi s.a.w bersabda, “Sembahyang malam dua, dua”. Allah memuji orang
yang bersembahyang malam.
“Dan
di sebahagian malam hendaklah engkau sembahyang tahajjud sebagai sembahyang
sunat untukmu, supaya Tuhanmu bangkitkan kamu di satu tempat yang terpuji”.
(Surah Bani Israil, ayat 79).
“Renggang
rusuk-rusuk mereka dari tempat tidur, dalam keadaan menyeru Tuhan mereka
dengan takut dan penuh harapan, dan sebahagian daripada apa yang Kami
kurniakan itu mereka belanjakan”. (Surah as-Sajadah, ayat 16 & 17).
Kemudian pada akhir malam bangun semula untuk mengerjakan
sembahyang witir tiga rakaat, sembahyang yang menutup semua
sembahyang-sembahyang pada hari itu. Pada rakaat ketiga selepas al-Faatihah
bacakan satu surah dari Quran, kemudian angkatkan tangan seperti pada
permulaan sembahyang sambil ucapkan “Allahu Akbar!” dan bacakan doa qunut. Kemudian
selesaikan sembahyang seperti biasa.
Setelah matahari terbit orang yang di dalam suluk perlu
melakukan sembahyang isyraq, sembahyang yang menerangi, dua rakaat. Selepas
itu melakukan sembahyang istihadha’ dua rakaat, mencari perlindungan dan
keselamatan daripada syaitan. Pada rakaat pertama selepas al-Faatihah
bacakan surah al-Falaq. Dalam rakaat kedua selepas al-Faatihah bacakan
surah an-Nas.
Bagi mempersiapkan diri untuk hari itu lakukan sembahyang
sunat istikharah, sembahyang meminta petunjuk Allah untuk keputusan yang
benar pada hari itu. Pada tiap rakaat selepas al-Faatihah bacakan ayat
al-Kursi. Kemudian tujuh kali surah al-Ikhlas. Kemudian pagi itu lakukan
sembahyang dhuha, sembahyang kesalihan dan kedamaian hati. Lakukan enam
rakaat. Bacakan surah asy-Syams dan surah ad-Dhuha. Sembahyang dhuha
diikuti oleh dua rakaat kaffarat, sembahyang penebusan terhadap kekotoran
yang mengenai seseorang tanpa boleh dielakkan atau disedari. Tersentuh
dengan kekotoran walaupun secara tidak sengaja masih berdosa, boleh
dihukum. Ini boleh berlaku walaupun di dalam suluk, misalnya melalui
keperluan tubuh badan. Nabi s.a.w bersabda, “Jaga-jaga dari najis –
walaupun ketika kamu kencing, satu titik tidak mengenai kamu – kerana ia
adalah keseksaan di dalam kubur”. Setiap rakaat, selepas membaca
al-Faatihah bacakan surah al-Kausar tujuh kali.
Satu lagi sembahyang – panjang, walaupun empat rakaat –
harus dilakukan dalam satu hari semasa khalwat atau suluk. Ini adalah
sembahyang tasbih – sembahyang penyucian atau pemujaan. Jika seseorang itu
mengikuti mazhab Hanafi dia melakukannya empat rakaat satu salam. Jika dia
berfahaman Syafi’e dilakukannya dua rakaat satu salam, dua kali. Ini jika
dilakukan di siang hari. Jika dilakukan malam hari Hanafi dan Syafi’e
sependapat, dua rakaat satu salam, dua kali.
Nabi s.a.w memberitahu mengenai sembahyang ini kepada bapa
saudara baginda, Ibnu Abbas, “Wahai bapa saudaraku yang ku kasihi. Ingatlah
aku akan berikan kepada kamu satu pemberian. Perhatikanlah aku akan
Sampaikan kepada kamu satu yang sangat baik. Ingatlah aku akan berikan
kepada kamu kehidupan dan harapan baharu. Ingatlah aku akan berikan kepada
kamu sesuatu yang bernilai sepuluh daripada perbuatan-perbuatan yang baik.
Jika kamu kerjakan apa yang aku beritahu dan ajarkan kepada kamu Allah akan
ampunkan dosa-dosa kamu yang lalu dan yang akan datang, yang lama dan yang
baharu, yang kecil dan yang besar. Lakukan secara diketahui atau tidak
diketahui, secara tersembunyi atau terbuka”.
“Engkau kerjakan sembahyang empat rakaat. Pada tiap-tiap
rakaat selepas al-Faatihah kamu bacakan satu surah dari Quran. Ketika kamu
berdiri bacakan lima belas kali:
Subhana Llahi il-hamdu li-Llahi la ilaha illa Llahu wa-Llahu
akbar, wa-la hawla wa-la quwwata illa billahil l-‘Ali I-‘Azim.
Bila kamu rukuk, tangan di atas lutut, bacakan sepuluh kali.
Ketika berdiri ulanginya sepuluh kali lagi. Ketika kamu sujud bacakan
sepuluh kali. Bila kamu bangun dari sujud bacakan sepuluh kali. Ketika
duduk bacakan sepuluh kali. Sujud semula bacakan sepuluh kali. Duduk semula
bacakan sepuluh kali. Kemudian bangun untuk rakaat kedua. Lakukan serupa
untuk rakaat yang lain sehingga empat rakaat”.
“Jika
kamu mampu lakukan sembahyang ini setiap hari. Jika tidak lakukan sekali
sebulan. Jika tidak mampu juga lakukan sekali setahun. Jika masih tidak
mampu lakukan sekali seumur hidup”.
Jadi, empat rakaat itu tasbih diucapkan sebanyak tiga ratus
kali. Sebagaimana Nabi s.a.w ajarkan kepada bapa saudara baginda Ibnu
Abbas, dianjurkan juga kepada orang yang bersuluk melakukan sembahyang
tersebut.
Selain daripada tugas tersebut orang yang di dalam suluk
juga dianjurkan membaca Quran sekurang-kurangnya sebanyak 200 ayat sehari.
Dia juga hendaklah mengingati Allah secara terus menerus dan menurut
suasana rohani, samada menyebut nama-nama-Nya yang indah secara kuat atau
senyap di dalam hati. Ingatan di dalam hati secara senyap hanya bermula
bila hati kembali jaga dan hidup. Bahasa zikir ini adalah perkataan rahsia
yang tersembunyi.
Setiap orang mengingati Allah menurut keupayaan
masing-masing. Allah berfirman:
“Hendaklah kamu sebut Dia sebagaimana Dia pimpin kamu”.
(Surah al-Baqarah, ayat 198).
Ingatlah kepada-Nya menurut kemampuan kamu. Pada setiap
tahap kerohanian ingatan itu berbeza-beza. Ia mempunyai satu nama lagi, ia
mempunyai satu sifat lagi, satu cara lagi. Hanya orang yang ditahap itu
tahu zikir yang sesuai.
Orang yang di dalam suluk juga dianjurkan membaca surah
al-Ikhlas seratus kali sehari. Perlu juga membaca Selawat seratus kali
sehari. Dia juga perlu membaca doa ini sebanyak seratus kali:
“Astaghfiru
Llah al-‘Azim, la ilaha illa Huwa l-Hayy ul-Qayyum – mimma qaddamtu wa-ma
akhkhartu wa-ma ‘alantu wa-ma asrartu wa-ma anta a’lamu bihi minni. Anta
l-Muqaddimu wa-antal Muakhkhiru wa-anta ‘ala kulli syai in Qadir”.
Masa yang selebihnya setelah dilakukan ibadat-ibadat yang
telah dinyatakan, gunakan untuk membaca Quran dan lain-lain pekerjaan
ibadat.
|