Khalwat
dan suluk harus dilihat secara zahir dan batin. Khalwat zahir ialah apabila
seseorang mengambil keputusan untuk memisahkan dirinya daripada dunia,
memencilkan dirinya di dalam satu ruang yang terpisah daripada orang ramai
supaya manusia dan makhluk di dalam dunia selamat daripada kelakuan dan
kewujudannya yang tidak diingini. Dia juga berharap agar dengan berbuat
demikian sumber kepada kewujudan yang tidak diingini, egonya dan hawa nafsu
badannya akan terpisah daripada bekalan hariannya dan terhenti juga segala
yang memuaskan dan mengenyangkannya. Seterusnya dia berharap pengasingan
itu akan mendidik egonya dan seleranya, memberi peluang kepada perkembangan
diri rohaninya.
Bila
seseorang memutuskan demikian niatnya mestilah ikhlas. Dalam satu segi dia
seumpama meletakkan dirinya di dalam kubur, dalam keadaan mati,
mengharapkan semata-mata keredaan Allah, berhasrat dalam hatinya melahirkan
yang asli dan beriman, yang boleh lahir daripada kewujudannya yang hina
ini. Nabi s.a.w bersabda, “Yang beriman adalah yang orang lain selamat daripada
tangan dan lidahnya”.
Dia
mengikat lidahnya dari berkata yang sia-sia kerana Nabi s.a.w bersabda, “Keselamatan
manusia datang dari lidah dan kebinasaannya juga dari lidah”. Dia
menutupkan matanya daripada yang diharamkan agar pandangannya yang khianat
dan menipu daya tidak jatuh ke atas apa yang dimiliki oleh orang lain. Dia
menutup telinganya dari mendengar pembohongan dan kejahatan, dan mengikat
kakinya, membelenggunya dari pergi kepada dosa.
Nabi
s.a.w bersabda menceritakan setiap anggota badan boleh melakukan dosa
sendirian, “Mata boleh berzina”. Bila salah satu daripada
pancaindera berdosa satu makhluk hitam yang hodoh diciptakan daripadanya
dan pada hari pembalasan ia menjadi saksi terhadap dosa yang kamu lakukan.
Kemudian ia dicampakkan ke dalam neraka.
Tuhan
memuji orang yang menghindarkan dirinya daripada kesalahan kerana yang
demikian merupakan penyesalan yang sebenar, taubat yang kuat.
“Adapun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya, dan
menegah diri daripada hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurga itu tempat
kembalinya”. (Surah an-Naazi’aat,
ayat 40 & 41).
Orang
yang takutkan Tuhannya dan bertaubat, mengeluarkan kewujudannya yang hina
daripada yang beriman dan mengeluarkan keburukannya daripada imannya,
ditukarkan di dalam khalwatnya, sehingga jadilah ia jejaka tampan.
Kewujudan yang elok ini menjadi khadam kepada penghuni syurga.
Mengasingkan
diri adalah benteng menghalang musuh bagi dosa diri sendiri dan kesalahan.
Di dalamnya, sendirian, seseorang terpelihara di dalam kesucian. Firman
Allah:
“Barangsiapa percaya akan pertemuan Tuhannya hendaklah ia
kerjakan amal salih dan janganlah ia sekutukan seseorang jua dalam ibadat
kepada Tuhannya”. (Surah
al-Kahfi, ayat 110).
Semua
yang diceritakan hingga kini adalah maksud bagi suasana khalwat zahir.
Maksud khalwat batin pula ialah mengeluarkan dari hati walaupun hanya
memikirkan hal keduniaan, kejahatan dan ego, meninggalkan makan, minum.
Harta, keluarga, isteri, anak-anak dan perhatian serta kasih sayang
semuanya.
Anggapan
orang lain melihat atau mendengar tentangnya jangan masuk kepada khalwat
ini. Nabi s.a.w bersabda,
“Kebesaran
dan apa yang diburunya adalah bala, dan melarikan diri daripada kebesaran
dan mengharapkan pujian orang dan apa yang dibawanya adalah keselamatan.”
Orang
yang bercadang memasuki khalwat batin mestilah menutupi hatinya daripada
kemegahan, sombong, takabur, marah, dengki, khianat dan yang seumpamanya.
Jika sebarang perasaan yang demikian masuk kepadanya di dalam khalwatnya
hatinya menjadi terikat. Ia tidak lagi terlepas daripada dunia dan khalwat
demikian tidak berguna. Sekali kekotoran memasuki hati ia kehilangan
kesuciannya dan semua kebaikan terbatal.
“Apa yang kamu bawa itu sihir, sesungguhnya Allah akan
membatalkannya (kerana) Allah itu tidak membaguskan amal orang-orang yang
berbuat bencana”. (Surah Yunus, ayat
81).
Walaupun
perbuatan seseorang itu kelihatan bagus pada pandangan orang lain, bila
sifat-sifat buruk memasukinya, orang itu dianggap berlaku khianat dan
menipu dirinya sendiri dan juga orang lain. Nabi s.a.w bersabda, “Sombong
dan takabur mencemarkan iman. Fitnah dan umpatan lebih buruk dari dosa
zina”. Juga, “Sebagaimana api membakar kayu dendam membakar dan
menghapuskan perbuatan baik seseorang”. Juga, “Fitnah itu tidur,
laknati ke atas siapa yang mengejutkannya”. Juga, “Orang yang bakhil
tidak masuk syurga walaupun dia habiskan umurnya dengan ibadat”. Juga, “Kepura-puraan
adalah bentuk sembunyi mengadakan sekutu bagi Tuhan”. Juga, “Syurga
menolak orang yang menolak orang lain”.
Banyak
lagi tanda-tanda sifat buruk yang dikutuk oleh Rasulullah s.a.w. Apa yang
dinyatakan sudah memadai untuk menunjukkan kepada kita bahawa dunia ini
adalah tempat yang memerlukan berterusan di dalam berhati-hati dan
berwaspada, perlu berjalan melaluinya dengan penuh cermat dan perhatian.
Matlamat pertama jalan kerohanian ialah menyucikan hati dan langkah untuk
memperolehinya ialah membenteras keegoan dan keinginan hawa nafsu. Di dalam
khalwat, dengan berdiam diri, bertafakur dan berzikir terus menerus, ego
seseorang diperbaiki. Kemudian Allah Yang Maha Tinggi menjadikan hati
seseorang itu bercahaya.
Tiada
yang dilakukan di dalam khalwat secara perbuatan sendiri. Apa yang perlu
ialah cinta, ikhlas dan keyakinan yang sebenar. Cara ini bukan cara orang
tersebut sendiri. Dia menuruti cara para sahabat Rasulullah s.a.w, cara
orang-orang yang mengikuti mereka dan cara orang yang mengetahui cara
mereka dan mengikutinya.
Bila
orang yang yakin berada pada jalan ini menurut jalan taubat, ilham dan
menyucikan hatinya, Allah mencabut dari hatinya dan dirinya segala yang
merosakkan dan yang keji dan melindunginya agar dia tidak kembali
kepadanya. Wajahnya akan menjadi cantik; perasaannya, samada dipendamkan
atau dizahirkan, menjadi tulen. Apa sahaja yang dia lakukan dilakukannya
dengan cara yang terpuji kerana dia berada di dalam kehadiran Ilahi. “Allah
mendengar orang yang memuji-Nya”. Jadi, Allah menjaganya. Allah
menerima doanya, kerinduannya dan puji-pujiannya dan mengabulkan segala
keinginannya.
“Barangsiapa mahukan kemuliaan maka bagi Allah jualah semua
kemuliaan. Kepada-Nya naik perkataan yang baik, amal yang salih itu Dia
angkat”. (Surah Fatir, ayat 10).
Perkataan
yang baik menyelamatkan lidah daripada perkataan yang sia-sia. Lidah adalah
alat yang baik untuk memuji Tuhan, mengulangi nama-nama-Nya yang indah,
memperakui keesaan-Nya. Allah memberi amaran terhadap perkataan yang
sia-sia:
“Tidak sekali-kali! Sesungguhnya yang demikian perkataan
yang ia ucapkan padahal di belakang mereka satu dinding hingga hari mereka
dibangkitkan (mereka tidak benar dalam perkataan mereka)”. (Surah Mukminuun, ayat 100).
Allah
mengurniakan keampunan-Nya, kasihan belas-Nya kepada orang yang belajar dan
mengamalkannya dengan niat yang baik. Dia membawanya hampir dengan
membawanya kepada darjat yang lebih tinggi. Dia reda kepadanya, Dia maafkan
kesalahannya.
Bila
seseorang telah dinaikkan kepada darjat itu hatinya menjadi seperti laut.
Bentuk dan warna laut itu tidak berubah kerana sedikit Kekejaman dan
penganiayaan yang orang ramai Buangkan kepadanya. Nabi s.a.w bersabda, “Jadilah
seperti laut yang tidak berubah, tetapi di dalamnya tentera gelap (ego)
kamu akan lemas”, seperti Firaun lemas di dalam Laut Merah. Dalam
lautan itu kapal agama timbul dengan selamat dan sejahtera, ia berlayar di
dalam lautan yang luas itu. Roh orang yang di dalam khalwat terjun ke
dasarnya untuk mendapatkan mutiara kebenaran, membawa ke permukaan mutiara
kebijaksanaan (makrifat) dari batu karang budi pekerti dan menyebarkannya
ke tempat yang jauh. Firman Allah:
“Keluar daripadanya mutiara dan marjan (batu karang)”. (Surah ar-Rahmaan, ayat 22).
Untuk
memelihara lautan tersebut zahir kamu mestilah sama dengan batin kamu, diri
kamu mestilah sama dengan apa yang kelihatan pada diri kamu. Suasana zahir
dan suasana batin kamu mestilah satu. Bila ini terjadi, tiada lagi
penipuan, hasutan atau kekacauan di dalam laut hati kamu. Tiada ribut nakal
yang boleh memabukkan di dalam lautan yang tenang itu. Orang yang
memperolehi suasana tersebut berada di dalam keadaan taubat sepenuhnya;
ilmunya luas dan bermanfaat, perbuatannya semuanya adalah khidmat untuk orang
lain, hatinya tidak mengalir kepada kejahatan. Jika dia tersilap atau lupa
dia dimaafkan kerana dia ingat bila dia lupa dan bertaubat bila dia
bersalah. Dia berada dalam kehampiran dengan Allah dan dirinya sendiri.
|