Kamu patut tahu bahawa manusia akan termasuk kepada salah
satu daripada dua golongan, golongan pertama ialah yang berada dalam
kedamaian, keimanan, bahagia dalam melakukan ketaatan kepada Allah,
sementara golongan kedua berada dalam keadaan tidak selamat, keraguan dan
kerisauan dalam keingkaran terhadap peraturan Tuhan. Kedua-dua nilai,
ketaatan dan keingkaran, ada di dalam diri seseorang. Jika kesucian,
kebaikan dan keikhlasan lebih menguasai, sifat-sifat mementingkan diri akan
bertukar menjadi suasana kerohanian dan bahagian diri yang ingkar akan
dikalahkan oleh bahagian diri yang baik. Sebaliknya jika seseorang
mengikuti hawa nafsu yang rendah dan kesenangan ego dirinya, sifat-sifat
ingkar akan menguasai bahagian diri yang satu lagi untuk menjadikannya
ingkar dan jahat. Jika kedua-dua sifat yang berlawanan itu sama-sama kuat
diharapkan yang baik itu boleh menang, sebagaimana yang dijanjikan:
“Barangsiapa kerjakan kebaikan maka baginya (ganjaran)
sepuluh kali ganda, dan barangsiapa kerjakan kejahatan maka Tidaklah
dibalas dia melainkan sebanyak (kejahatannya) itu, dan mereka tidak akan
diniayai. (Surah An’aam, ayat 160).
Dan jika Allah kehendaki ditambah-Nya lagi ganjaran atas
kebaikan. Namun orang yang kebajikan dan kejahatannya sama banyak mesti
lulus perbicaraan pada hari pembalasan. Orang yang berjaya mengubah sifat
mementingkan diri kepada tidak mementingkan diri, hawa nafsu yang rendah
kepada cita-cita kerohanian, baginya tiada hisab, tiada catatan akan
diberikan kepadanya. Dia akan memasuki syurga tanpa melalui huru hara hari
kiamat.
“Oleh sebab itu barangsiapa berat (timbangan) kebaikannya
maka dia di dalam kehidupan (akhirat) yang sentosa”. (Surah Qari’ah,
ayat 6 & 7).
Orang yang kejahatannya lebih berat daripada kebaikannya akan
dihukum menurut kadar kejahatannya. Kemudian dia dikeluarkan daripada
neraka, jika dia beriman, dan akan masuk syurga.
Taat dan ingkar bermakna baik dan jahat. Kedua-dua ini ada
dalam diri seseorang manusia. Yang baik boleh berubah menjadi jahat dan
yang jahat boleh berubah menjadi baik. Nabi s.a.w bersabda, “Orang yang kebaikan menguasainya menemui keselamatan,
keimanan dan kegembiraan dan menjadi baik. Orang yang kejahatan lebih
menguasai kebaikan, dia menjadi ingkar dan jahat. Orang yang menyedari
kesalahannya dan bertaubat dan mengubah haluannya akan mendapati suasana
ingkar akan bertukar menjadi taat dan beribadat”.
Telah menjadi ketentuan bahawa baik dan jahat, kehidupan yang
diberkati bagi orang yang taat dan kesengsaraan bagi yang ingkar, adalah
keadaan yang setiap orang dilahirkan dengannya. Kedua-duanya tersembunyi di
dalam bakat atau keupayaan seseorang. Nabi s.a.w bersabda, “Orang yang
bertuah menjadi baik adalah baik ketika di dalam kandungan ibunya, dan
orang berdosa yang jahat adalah pendosa di dalam kandungan ibunya”.
Begitulah keadaannya dan tiada siapa yang berhak berbincang mengenainya.
Urusan takdir bukan untuk dibincangkan. Jika dibiarkan perbincangan
demikian ia akan membawa kepada bidaah dan kekufuran.
Lagi pun tiada siapa boleh menjadikan takdir sebagai alasan
untuk membuang segala ikhtiar, semua perbuatan baik. Seseorang itu tidak
boleh mengatakan, ‘Jika aku ditakdirkan menjadi baik maka aku bersusah
payah membuat kebaikan sedangkan aku sudahpun diberkati’. Atau berkata,
‘Jika aku sudah ditakdirkan menjadi jahat apa gunanya aku berbuat
kebaikan’. Jelas sekali pendirian demikian tidak benar. Tidak wajar
mengatakan, ‘Jika keadaan aku sudah ditakdirkan pada azali apa untung atau
rugi yang aku harapkan dengan usahaku sekarang’. Contoh yang baik diberikan
kepada kita adalah perbandingan di antara Adam a.s dengan iblis yang
dilaknat. Iblis meletakkan kesalahan kepada takdir, yang menyebabkan dia
menjadi derhaka, maka dia menjadi kafir dan dibuang jauh daripada keampunan
dan kehampiran Tuhan. Adam a.s mengakui kesilapannya dan memohon keampunan,
menerima keampunan dari Allah dan diselamatkan.
Menjadi kewajipan bagi orang Islam yang beriman untuk tidak
cuba memahami sebab-sebab yang tersimpan di dalam takdir. Orang cuba
berbuat demikian akan menjadi keliru dan tidak mendapat apa-apa melainkan
keraguan. Bahkan dia mungkin kehilangan keyakinan. Orang yang beriman
mestilah mempercayai kepada kebijaksanaan Allah yang mutlak. Segala yang
manusia lihat terjadi pada dirinya di dalam dunia ini mesti ada alasan
tetapi alasan itu bukan untuk difahami melalui lojik manusia kerana ia
berdasarkan kebijaksanaan Tuhan. Di dalam kehidupan ini bila kamu temui
pencacian terhadap Tuhan, kemunafikan, keingkaran, penipuan dan lain-lain
yang jahat, jangan biarkan perkara-perkara tersebut menggoncangkan iman
kamu. Ketahuilah Allah Yang Maha Tinggi dengan kebijaksanaan mutlak
bertanggungjawab kepada semua perkara dan Dia lakukan apa yang kelihatan
sebagai tidak baik sebagai menyatakan kekuasaan-Nya yang mutlak.
Penzahiran kekuasaan yang demikian mungkin menyebabkan ada
orang yang tidak tertahan dan menganggapnya sebagai tidak baik tetapi ada
rahsia besar di sebaliknya yang tiada makhluk yang tahu melainkan
Rasulullah s.a.w. Ada kisah orang arif berdoa kepada Tuhannya, “Wahai Yang
Maha Suci, semua telah diatur oleh Engkau. Takdirku adalah kepunyaan-Mu.
Ilmu yang Engkau letakkan padaku adalah milik-Mu”. Ketika itu dia mendengar
jawapan tanpa suara tanpa sepatah perkataan, keluar dari dalam dirinya
mengatakan, “Wahai hamba-Ku. Segala yang engkau katakan adalah kepunyaan
Yang Maha Esa dan dalam keesaan. Ia bukan milik hamba-hamba”. Hamba yang
beriman itu berkata, “Wahai Tuhanku, aku telah menzalimi diriku, aku
bersalah, aku berdosa”. Selepas pengakuan itu sekali lagi dia mendengar
dari dalam dirinya, “Dan Aku mempunyai keampunan terhadap dirimu. Aku telah
hapuskan kesalahan-kesalahan kamu, Aku telah ampun kamu”.
Biar mereka yang beriman tahu dan bersyukur yang segala
kebaikan yang mereka lakukan bukanlah dari mereka tetapi melalui mereka,
kejayaan datangnya dari Pencipta. Bila mereka bersalah biar mereka tahu
bahawa kesalahan mereka datangnya dari diri mereka sendiri, kepunyaan
mereka dan mereka boleh bertaubat. Kesalahan datangnya dari keegoan mereka
yang batil. Jika kamu memahami ini dan mengingatinya kamu termasuk ke dalam
golongan yang disebut Allah:
“Dan yang apabila telah berbuat kejelikan atau menganiayai
diri-diri mereka maka mereka ingat kepada Allah dan mereka minta diampunkan
dosa-dosa mereka – bukankah tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan
Allah? Dan mereka tidak berkekalan di atas dosa yang mereka kerjakan, dan
mereka tahu. Mereka itu balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka,
syurga-syurga yang mengalir padanya sungai-sungai, mereka akan kekal
padanya, dan alangkah baiknya balasan bagi orang-orang yang beramal”. (Surah
Imraan, ayat 135 & 136).
Adalah baik bagi orang yang beriman mengakui yang dirinya
sendirilah punca semua kesalahan dan dosanya. Itulah yang akan
menyelamatkannya. Itu lebih baik dan lebih benar daripada meletakkan
kesalahan dirinya kepada Yang Maha Perkasa, Maha Kuasa, Pencipta semua
perkara.
Bila Nabi s.a.w bersabda, “Telah
diketahui bila seseorang itu berada di dalam kandungan ibunya samada dia
akan menjadi baik atau pendosa” baginda maksudkan ‘dalam kandungan ibu’ itu adalah empat
anasir yang melahirkan semua kekuatan atau tenaga dan kebolehan lahiriah.
Dua daripada anasir tersebut adalah tanah dan air yang bertanggungjawab
kepada pertumbuhan keyakinan dan pengetahuan, melahirkan kehidupan dan
lahir dalam hati sebagai tawaduk (kerendahan diri). Dua anasir lain ialah
api dan angin yang bertentangan dengan tanah dan air – membakar, membinasa,
membunuh. Kudrat Tuhan yang menyatukan anasir-anasir yang berlawanan dan
berbeza menjadi satu. Bagaimana air dan api boleh wujud bersama? Bagaimana
cahaya dan kegelapan boleh terkandung di dalam awan?
“Dia yang mengunjukkan kepada kamu kilat untuk menakutkankan
dan kerana harapan, dan Dia jadikan mega yang berat. Dan petir itu
beribadat dengan memuji Tuhannya, dan malaikat juga, lantaran takut
kepada-Nya, dan Dia kirim halilintar dan Dia kenakannya kepada sesiapa yang
Dia kehendaki…”. (Surah ar-Ra’d, ayat 12 & 13).
Satu hari wali Allah Yahya bin Mua’adh ar-Razi ditanya, “Bagaimana
mengenali Allah?’ Dia menjawab, “Melalui gabungan yang bertentangan”.
Pertentangan termasuk pada, dan sebenarnya keperluan bagi,
memahami sifat-sifat Allah. Dengan menghadapkan diri kepada hakikat Ilahi
seseorang menjadi cermin yang membalikkan kebenaran itu, juga sifat Yang
Maha Perkasa dibalikkan. Dalam diri manusia terkandung seluruh alam maya.
Sebab itu dia dipanggil penggabung yang banyak. Allah menciptakan manusia
dengan dua tangan-Nya, tangan kemurahan-Nya dan tangan keperkasaan-Nya,
keperkasaan dan kekuasaan. Jadi, manusia adalah cermin yang menunjukkan
kedua-dua belah, yang kasar serta tebal dan yang halus serta indah.
Semua nama-nama Ilahi menyata pada manusia. Semua makhluk
yang lain hanya sebelah sahaja. Allah menciptakan iblis dan keturunannya
dengan sifat kekerasan-Nya. Dia ciptakan malaikat dengan sifat kemurahan-Nya.
Nilai-nilai kesucian dan kebaktian yang berterusan terkandung dalam
kejadian malaikat, sementara iblis dan keturunannya yang diciptakan dengan
sifat kekerasan-Nya, mempunyai nilai kejahatan, kerana itu iblis menjadi
takabur, dan bila Allah perintahkan sujud kepada Adam dia ingkar.
Oleh kerana manusia mempunyai kedua-dua ciri alam tinggi dan
rendah, dan Allah telah memilih utusan-utusan dan wali-wali-Nya dari
kalangan manusia, mereka tidak bebas daripada kesilapan. Nabi-nabi
dipelihara dari dosa-dosa besar tetapi kesilapan kecil harus berlaku pada
mereka. Wali-wali pula tidak terjamin dipelihara daripada dosa tetapi
adalah dikatakan wali-wali itu hampir dengan Tuhan, mencapai makam
kesempurnaan, mereka masuk ke bawah perlindungan Tuhan daripada dosa-dosa
besar.
Syaqiq al-Baqi berkata, “Terdapat lima tanda kebenaran:
perangai yang lemah lembut dan lembut hati, menangis kerana menyesal,
mengasingkan diri dan tidak peduli tentang dunia, tidak bercita-cita
tinggi, dan memiliki rasa hati (gerak hati atau intuisi). Tanda-tanda
pendosa juga lima; keras hati, mempunyai mata yang tidak pernah menangis,
mencintai dunia dan kesenangannya, bercita-cita tinggi, tidak bermalu dan
tidak ada rasa atau gerak hati”.
Nabi s.a.w meletakkan empat nilai pada orang yang baik-baik,
“Boleh dipercayai dan menjaga apa yang diamanahkan kepadanya dan
mengembalikannya. Menepati janji. Bercakap benar, tidak berbohong. Tidak
kasar dalam perbincangan dan tidak menyakitkan hati orang lain”. Baginda
s.a.w juga memberitahu empat tanda pendosa, “Tidak boleh dipercayai dan merosakkan amanah yang diberikan
kepadanya, mungkir janji, menipu, suka bertengkar, memaki apabila
berbincang dan menyakitkan hati orang lain”. Seterusnya pendosa tidak dapat memaafkan kawan-kawannya. Ini
tanda tiada iman kerana kemaafan menjadi tanda utama orang beriman. Allah
memerintahkan rasul-Nya:
“Berilah maaf, dan suruhlah mereka (manusia) berbuat
kebaikan, dan berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh”. (Surah
A’raaf, ayat 199).
Perintah ‘maafkanlah’ bukan hanya tertuju kepada Rasulullah
s.a.w seorang sahaja. Ia mengenai semua orang dan tentu sahaja termasuk
mereka yang beriman dengan Rasulullah s.a.w. Perkataan ‘maafkanlah’
bermakna jadikan tabiat memafkan, jadikan sifat atau peribadi. Sesiapa yang
ada sifat pemaaf menerima satu daripada nama-nama Allah – ar-Rauf – Yang
Memaafkan.
“Barangsiapa memaafkan dan membereskan maka ganjarannya
(adalah) atas (tanggungan) Allah”. (Surah Syura, ayat 40).
Ketahuilah ketaatan kepada Allah bertukar menjadi ingkar,
kejahatan dan dosa menjadi kebaikan, tidak berlaku dengan sendiri, tetapi
dengan rangsangan, pengaruh, tindakan serta usaha diri sendiri. Nabi s.a.w
bersabda, “Semua anak dilahirkan muslim. Ibu bapanya yang menjadikannya
Yahudi, Nasrani atau Majusi”. Setiap orang ada bakat untuk menjadi baik
atau jahat, boleh memiliki sifat-sifat baik dan buruk dalam masa yang sama.
Jadi, adalah salah menghukum seseorang atau sesuatu sebagai sepenuhnya baik
atau buruk. Tetapi benar jika dikatakan seseorang itu lebih banyak
kebaikannya daripada kejahatannya ataupun sebaliknya.
Ini bukan bermakna manusia masuk syurga tanpa amalan baik,
juga bukan dia dihantar ke neraka tanpa amalan buruk. Berfikir cara
demikian bertentangan dengan prinsip Islam. Allah menjanjikan syurga kepada
hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal salih dan diancam-Nya orang-orang
yang berdosa dengan azab neraka.
“Barangsiapa berbuat baik maka (adalah) untuk kebaikan
dirinya dan barangsiapa berbuat jahat maka untuk dirinya. Kemudian kepada
Tuhan kamulah kamu akan dikembalikan”. (Surah Jaasiaah, ayat 15).
"Di hari ini dibalas setiap jiwa dengan apa yang dia
telah usahakan. Tidak ada kezaliman pada hari ini. Sesungguhnya Allah cepat
menghitung”. (Surah Mukmin, ayat 17).
"Kerana apa juga amal yang baik yang kamu sediakan
untuk diri kamu nanti kamu dapati (ganjaran)nya di sisi Allah”. (Surah
Baqaraah, ayat 110).
|