Salah satu syarat menyediakan seseorang untuk berzikir ialah
berada di dalam keadaan berwuduk; basuh dan bersihkan tubuh badan dan
sucikan hati. Pada peringkat permulaan, supaya zikir itu berkesan, perlulah
disebut kuat-kuat akan perkataan dan ayat yang dijadikan zikir – kalimah
tauhid, sifat-sifat Allah. Bila perkataan tersebut diucapkan usahakan agar
kamu berada di dalam kesedaran (tidak lalai). Dengan cara ini hati
mendengar ucapan zikir dan diterangi oleh apa yang dizikirkan. Ia menerima
tenaga dan menjadi hidup – bukan sahaja hidup di dunia ini bahkan juga
hidup abadi di akhirat.
“Mereka tidak akan merasa padanya kematian, hanya kematian
pertama, dan Dia pelihara mereka daripada azab jahanam”. (Surah Dukhaan, ayat 56).
Nabi s.a.w menceritakan bahawa keadaan orang mukmin yang
mencapai yang hak melalui zikir, “Orang mukmin tidak mati. Mereka hanya
meninggalkan hidup yang sementara ini dan pergi kepada kehidupan abadi”.
Dan mereka lakukan di sana apa yang mereka lakukan dalam dunia. Nabi s.a.w
bersabda, “Nabi-nabi dan orang-orang yang hampir dengan Allah terus
beribadat di dalam kubur seperti yang mereka lakukan di dalam rumah
mereka”. Ibadat yang dimaksudkan itu adalah penyerahan dan merendahkan
diri rohani kepada Allah bukan sembahyang yang lima waktu sehari. Tawaduk
yang di dalam diri, dengan diam, adalah nilai utama yang menunjukkan iman
yang sejati.
Makrifat tidak dicapai oleh manusia
dengan usaha tetapi ia adalah anugerah dari Allah. Setelah dinaikkan kepada
makam tersebut orang arif menjadi akrab dengan rahsia-rahsia Allah. Allah
membawa seseorang kepada rahsia-rahsia-Nya apabila hati orang itu hidup dan
sedar dengan zikir atau ingatan kepada-Nya dan jika hati yang sedar itu
bersedia menerima yang hak. Nabi s.a.w bersabda, “Mataku tidur tetapi
hatiku jaga”.
Pentingnya memperolehi makrifat dan hakikat diterangkan oleh
Nabi s.a.w, “Jika seseorang berniat mempelajari dan beramal menurut
keinginannya itu tetapi mati sebelum mencapai tujuannya, Allah melantik dua
orang malaikat sebagai guru yang mengajarnya ilmu dan makrifat sampai ke
hari kiamat. Orang itu dibangkitkan dari kuburnya sebagai orang arif yang
telah memperolehi hakikat”. Dua orang malaikat di sini menunjukkan roh Nabi Muhammad
s.a.w dan cahaya cinta yang menghubungkan insan dengan Allah. Pentingnya
niat dan hajat selanjutnya diceritakan oleh Nabi s.a.w, “Ramai yang
berniat belajar tetapi mati ketika masih di dalam kejahilam tetapi mereka
bangkit daripada kubur pada hari pembalasan sebagai orang arif. Ramai ahli
ilmu dibangkitkan pada hari itu dalam keadaan rosak akhlak hilang segalanya
dan jahil keseluruhannya”. Mereka adalah orang-orang yang bermegah
dengan ilmu mereka, yang menuntut ilmu kerana muslihat duniawi dan berbuat
dosa. Mereka diberi amaran:
“Dan (ingatkanlah mereka) hari yang akan dibawa orang-orang
kafir ke neraka (dan dikata), ‘Kami telah habiskan bahagian kamu yang baik
di dalam penghidupan dunia. Dan kamu telah bersuka-sukaan dengannya. Maka
pada hari ini kamu akan dibalas dengan azab yang keji lantaran kamu pernah
berlaku sombong di dunia secara tidak benar dan lantaran kamu telah
melewati batas”. (Surah Ahqaaf,
ayat 20).
Nabi s.a.w bersabda, “Setiap amal bergantung pada niat. Niat dan tujuan orang
beriman lebih baik dan bernilai pada pandangan Allah daripada amalannya.
Niat orang yang tidak beriman lebih buruk daripada apa yang nyata dengan
amalannya”. Niat adalah asas amalan. Nabi s.a.w, “Adalah baik
membena kerja kebajikan di atas tapak yang baik, dan dosa adalah perbuatan
yang dibina di atas tapak yang jahat”.
“Barangsiapa hendak ke taman akhirat Kami tambah untuknya
pada ke tamannya, dan barangsiapa mahu ke taman dunia Kami akan beri
kepadanya sebahagian daripadanya, tetapi tidak ada baginya bahagian
akhirat”. (Surah Syura, ayat 20).
Cara terbaik ialah mencari guru kerohanian yang akan membawa
hati kamu hidup. Ini akan menyelamatkan kamu di akhirat. Ini adalah
penting; ia mesti dilakukan segera ketika masih hidup. Dunia ini kebun
akhirat. Orang yang tidak menanam di sini tidak boleh menuai di sana. Jadi,
bercucuk tanamlah di dalam dunia ini dengan benih yang diperlukan untuk
kesejahteraan hidup di sini dan juga di akhirat.
|