Puasa syariat adalah menahan diri daripada makan, minum dan
bersetubuh daripada terbit fajar hinggalah terbenam matahari. Puasa
kerohanian selain yang demikian ditambah lagi memelihara pancaindera dan
fikiran daripada perkara-perkara yang keji. Ia adalah melepaskan segala
yang tidak sesuai, zahir dan batin. Rosak sedikit sahaja niat mengenainya
rosaklah puasa rohani. Puasa syariat terikat dengan masa sementara puasa
rohani pula berkekalan di dalam kehidupan sementara ini dan kehidupan abadi
di akhirat. Inilah puasa yang sebenar.
Nabi s.a.w bersabda, “Ramai orang yang berpuasa tidak
mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga”. Puasa
syariat ada waktu berbuka tetapi puasa rohani berjalan terus walaupun
matahari sudah terbenam, walaupun mulut sudah merasakan makanan. Mereka
adalah yang menjaga pancaindera dan pemikiran bebas daripada kejahatan dan
yang menyakitkan orang lain. Untuk itu Allah telah berjanji, “Puasa
adalah amalan untuk-Ku dan Aku yang membalasnya”. Mengenai dua jenis
puasa itu Nabi s.a.w bersabda, “Orang yang berpuasa mendapat dua
kesukaan. Pertama bila dia berbuka dan kedua bila dia melihat”. Orang
yang mengenali zahir agama mengatakan kesukaan yang pertama itu ialah
kesukaan ketika berbuka puasa dan ‘kesukaan apabila mereka melihat’ itu
ialah melihat anak bulan Syawal menandakan hari raya. Orang yang mengetahui
makna batin bagi puasa mengatakan kesukaan berbuka puasa ialah apabila
seseorang yang beriman itu masuk syurga dan menikmati balasan di dalamnya,
dan kesukaan yang lebih lagi ialah ‘apabila melihat’, yang bermaksud
apabila orang yang beriman melihat Allah dengan mata rahsia bagi hati.
Lebih berharga daripada dua jenis puasa itu ialah puasa yang
sebenarnya (puasa hakikat), iaitu mengelakkan hati daripada menyembah
sesuatu yang lain dari Zat Allah. Ia dilakukan dengan mata hati buta
terhadap semua kewujudan, walaupun di dalam alam rahsia di luar daripada
alam dunia ini, melainkan kecintaan kepada Allah, kerana walaupun Allah
menjadikan segala-galanya untuk manusia, Dia jadikan manusia untuk-Nya, dan
Dia berfirman:
“Insan adalah rahsia-Ku dan Aku rahsianya”. Rahsia itu ialah cahaya
daripada cahaya Allah Yang Maha Suci. Ia adalah pusat atau jantung hati,
dijadikan daripada sejenis jisim yang amat seni. Ia adalah roh yang
mengetahui segala rahsia-rahsia yang hak. Ia adalah hubungan rahsia di
antara yang dicipta dengan Pencipta. Rahsia itu tidak cenderung dan tidak
mencintai sesuatu yang lain daripada Allah.
Tidak ada yang berharga untuk diingini, tiada yang dikasihi
di dalam dunia ini dan di akhirat, melainkan Allah. Jika satu zarah sahaja
daripada sesuatu memasuki hati selain kecintaan kepada Allah, maka batallah
puasa hakikat. Seseorang perlu memperbaharuinya, menghadapkan segala
kehendak dan niat kembali kepada kecintaan-Nya, di sini dan di akhirat.
Firman Allah, “Puasa adalah untuk-Ku dan hanya Aku yang membalasnya”.
|