9 ZULHIJJAH TAHUN 10 HIJRAH,
DI LEMBAH URANAH, GUNUNG 'ARAFAH
"Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang
hendak ku katakan !!! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi
dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti
kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat
hadir di sini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan
ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang
Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu
kepada pemiliknya yang berhak.
Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain
tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan menemui
Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu.
Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan
riba' hendaklah dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan
agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam
perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya
dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak
atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan
mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian
dalam suasana kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik! dan
berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman
dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama
sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah
kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh
kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari,
berpuasalah di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu
dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu.
Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara
kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorangpun yang
lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh.
Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada
suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu
lakukan. Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu
terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul
yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai
manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah
disampaikan kepada kamu.
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua
perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya
nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan
Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku
ini menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang yang lain
itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu seterusnya.
Semoga orang yang terakhir yang menerimanya
lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang mendengar terus dariku.
Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada
hamba-hamba- Mu. "
|