Sayyid Muhammad bin
Alawi Al-Maliki, Ulama Yang Amat Dicintai Masyarakat
Sayyid Muhammad bin
Alawi Al-Maliki ialah salah seorang ulama Islam yang terutama desawarsa ini
tanpa ragu lagi, ulama yang paling dihormati dan dicintai di kota suci
Makkah.
Beliau merupakan
keturunan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, penghulu Ahlil Bait, Imam
Hadis di zaman kita, pemimpin keempat-empat mazhab, ketua rohani yang
paling berkaliber, pendakwah ke jalan Allah, seorang yang tidak goyah
dengan pegangannya di dunia ilmiah Islam turath. Menziarahi beliau
merupakan suatu kemestian kepada para ulama yang menziarahi Makkah.
Keluarga
Keturunan Sayyid
merupakan keturunan mulia yang bersambung secara langsung dengan Junjungan
kita Muhammad Sallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri. Beliau merupakan waris
keluarga Al-Maliki Al-Hasani di Makkah yang masyhur yang merupakan
keturunan Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam, melalui cucu Baginda, Imam
Al-Hasan bin Ali, Radhiyallahu ‘Anhum.
Keluarga Maliki
merupakan salah satu keluarga yang paling dihormati di Makkah dan telah
melahirkan alim ulamak besar di Makkah, yang telah mengajar di Makkah
berkurun lama.
Lima orang dari
keturunan Sayyid Muhammad, telah menjadi Imam Mazhab Maliki di Haram
Makkah. Datuk beliau, Al-Sayyid Abbas Al-Maliki, merupakan Mufti dan Qadhi
Makkah dan khatib di Masjidil Haram. Beliau memegang jawatan ini ketika
pemerintahan Uthmaniah serta Hashimiah, dan seterusnya terus memegang
jawatan tersebut setelah Kerajaan Saudi diasaskan. Raja Abdul Aziz bin
Sa’ud sangat menghormati beliau. Riwayat lanjut beliau boleh dirujuk pada
kitab Nur An-Nibras fi Asanid Al-Jadd As-Sayyid Abbas oleh cucunya
As-Sayyid Muhammad Al-Maliki.
Bapa beliau pula,
As-Sayyid Alawi Al-Maliki merupakan salah seorang ulamak Makkah terunggul
di abad yang lalu. Beliau telah mengajar pelbagai ilmu Islam turath di
Masjidil Haram selama hampir 40 tahun. Ratusan murid dari seluruh pelusuk
dunia telah mengambil faedah daripada beliau melalui kuliah beliau di
Masjidil Haram, dan ramai di kalangan mereka telah memegang jawatan penting
agama di negara masing-masing.
Malah, Raja Faisal
tidak akan membuat apa-apa keputusan berkaitan Makkah melainkan setelah
meminta nasihat daripada As-Sayyid Alawi. Beliau telah meninggal dunia pada
tahun 1971 dan upacara pengebumiannya merupakan yang terbesar di Makkah
sejak seratus tahun. Dalam tempoh 3 hari daripada kematian beliau, Stesyen
Radio Saudi tempatan hanya menyiarkan bacaan Al-Quran, sesuatu yang tidak
pernah dilakukan melainkan hanya untuk beliau.
Maklumat lanjut
tentang As-Sayyid Alawi boleh dirujuk kepada biografinya berjudul Safahat
Musyriqah min Hayat Al-Imam As-Sayyid As-Syarif Alawi bin Abbas Al-Maliki
oleh anaknya, yang juga merupakan adik kepada As-Sayyid Muhammad, As-Sayyid
Abbas Al-Maliki. As-Sayyid Abbas juga seorang ulamak, tetapi lebih dikenali
dengan suara merdunya dan pembaca Qasidah yang paling utama di Arab Saudi.
Biografi ini mengandungi tulisan berkenaan As-Sayyid Alawi dari ulamak dari
seluruh dunia Islam.
Keluarga Maliki juga
telah melahirkan ramai lagi ulamak lain, tetapi penulis hanya menyebut bapa
dan datuk kepada As-Sayyid Muhammad. Untuk maklumat lanjut, rujuk
tulisan-tulisan berkaitan sejarah Makkah dan ulamaknya di abad-abad
mutakhir.
Kelahiran dan Pendidikan
Awal
As-Sayyid Muhammad
Al-Hasani bin Alawi bin Abbas bin Abdul Aziz, dilahirkan pada tahun 1946,
di kota suci Makkah, dalam keluarga Al-Maliki Al-Hasani yang terkenal,
keluarga Sayyid yang melahirkan ulamak tradisi.
Beliau amat
beruntung kerana memiliki bapa seperti As-Sayyid Alawi, seorang ulama
paling berilmu di Makkah. Bapa beliau merupakan guru pertama dan utama
beliau, mengajar beliau secara peribadi di rumah dan juga di Masjidil
Haram, di mana beliau menghafal Al-Quran sejak kecil.
Beliau belajar
dengan bapa beliau dan diizinkan untuk mengajar setiap kitab yang diajarkan
oleh bapa beliau kepada beliau.
Pendidikan Lanjut
Dengan arahan
bapanya, beliau juga turut mempelajari dan mendalami pelbagai ilmu turath
Islam: Aqidah, Tafsir, Hadith, Feqh, Usul, Mustalah, Nahw dan lain-lain, di
tangan ulamak-ulamak besar lain di Makkah serta Madinah. Kesemua mereka
telah memberikan ijazah penuh kepada beliau untuk mengajar ilmu-ilmu ini
kepada orang lain.
Ketika berumur 15
tahun lagi, As-Sayyid Muhammad telah mengajar kitab-kitab Hadith dan Feqh
di Masjidil Haram, kepada pelajar-pelajar lain, dengan arahan guru-gurunya.
Setelah mempelajari ilmu turath di tanah kelahirannya Makkah, beliau
dihantar oleh bapanya untuk menuntut di Universiti Al-Azhar As-Syarif.
Beliau menerima ijazah PhD daripada Al-Azhar ketika berusia 25 tahun,
menjadikan beliau warga Arab Saudi yang pertama dan termuda menerima ijazah
PhD dari Al-Azhar. Tesis beliau berkenaan Hadith telah diiktiraf cemerlang
dan menerima pujian yang tinggi dari alim ulamak unggul di Al-Azhar ketika
itu, seperti Imam Abu Zahrah.
Perjalanan Mencari
Ilmu
Perjalanan menuntut
ilmu merupakan jalan kebanyakan ulamak. As-Sayid Muhammad turut tidak
ketinggalan. Beliau bermusafir sejak usia muda untuk menuntut ilmu dari
mereka yang memiliki ilmu. Beliau telah bermusafir dengan banyak ke Afrika
Utara, Mesir, Syria, Turki, dan rantau Indo-Pak untuk belajar dari
alim-ulamak yang hebat, bertemu para Wali Allah, menziarahi masjid-masjid
dan maqam-maqam, serta mengumpul manuskrip-manuskrip dan kitab.
Di setiap tempat
ini, beliau menemui para ulamak dan auliyak yang agung, dan mengambil
faedah daripada mereka. Mereka juga turut tertarik dengan pelajar muda dari
Makkah ini dan memberi perhatian istimewa untuk beliau. Kebanyakan mereka
telah pun sangat menghormati bapa beliau yang alim, dan merupakan satu
kebanggaan memiliki anak beliau sebagai murid.
Ijazah-ijazah
Sistem pengajian
tradisi atau turath berasaskan kepada ijazah atau ‘keizinan untuk
menyampaikan ilmu’. Bukan semua orang boleh mengajar. Hanya mereka yang
memiliki ijazah yang diktiraf dari alim-ulamak yang terkenal sahaja yang
boleh mengajar. Setiap cabang pengetahuan dan setiap kitab Hadith, Feqh,
Tafsir dan lain-lain, mempunyai Sanad-sanad, atau rantaian riwayat yang
bersambung sehingga kepada penyusun kitab tersebut sendiri melalui
anak-anak muridnya dan seterusnya anak-anak murid mereka. Banyak
sanad-sanad yang penting, seperti sanad Al-Qur’an, Hadith dan Tasawwuf,
bersambung sehingga kepada Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam.
Sayyid Muhammad
mendapat penghormatan dengan menjadi Shaykh dengan bilangan ijazah
terbanyak dalam waktunya. Beliau juga memiliki rantaian sanad terpendek
atau terdekat dengan datuknya, Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam.
Di Tanah Arab, tanah
kelahirannya, dan dalam permusafiran ilmunya, As-Sayyid Muhammad mendapat
lebih dari 200 ijazah dari alim-ulamak teragung di zamannya, di setiap
cabang ilmu Islam. Ijazah beliau sendiri, yang beliau berikan kepada
murid-muridnya adalah antara yang paling berharga dan jarang di dunia,
menghubungkan anak-anak muridnya dengan sejumlah besar para ulamak agung.
Para Masyaikh yang
memberikan As-Sayyid Muhammad ijazah-ijazah mereka merupakan ulamak besar
dari seluruh dunia Islam. Kita menyebutkan sebahagian mereka:
Dari Makkah:
1) Bapa beliau yang
alim dan guru beliau yang pertama, As-Sayyid Alawi bin Abbas al-Maliki
2) Shaykh Muhammad
Yahya Aman al-Makki
3) Shaykh al-Sayyid
Muhammad al-Arabi al-Tabbani
4) Shaykh Hasan
Sa‘id al-Yamani
5) Shaykh Hasan bin
Muhammad al-Mashshat
6) Shaykh Muhammad
Nur Sayf
7) Shaykh Muhammad
Yasin al-Fadani
8) Al-Sayyid
Muhammad Amin Kutbi
9) Al-Sayyid Ishaq
bin Hashim ‘Azuz
10) Habib Hasan bin
Muhammad Fad‘aq
11) Habib
Abd-al-Qadir bin ‘Aydarus al-Bar
12) Shaykh Khalil
Abd-al-Qadir Taybah
13) Shaykh Abd-Allah
al-Lahji
Dari Madinah:
1) Shaykh Hasan
al-Sha‘ir, Shaykh al-Qurra of Madinah
2) Shaykh
Diya-al-Din Ahmad al-Qadiri
3) As-Sayyid Ahmad
Yasin al-Khiyari
4) Shaykh Muhammad
al-Mustafa al-Alawi al-Shinqiti
5) Shaykh Ibrahim
al-Khatani al-Bukhari
6) Shaykh
Abd-al-Ghafur al-Abbasi al-Naqshbandi
Dari Hadramawt dan
Yaman:
1) Al-Habib Umar bin
Ahmad bin Sumayt, Imam Besar Hadramawt
2) Shaykh As-Sayyid
Muhammad Zabarah, Mufti Yaman
3) Shaykh As-Sayyid
Ibrahim bin Aqeel al-Ba-Alawi, Mufti Ta‘iz
4) Al-Imam al-Sayyid
Ali bin Abd-al-Rahman al-Habshi
5) Al-Habib Alawi
ibn Abd-Allah bin Shihab
6) As-Sayyid Hasan
bin Abd-al-Bari al-Ahdal
7) Shaykh Fadhl bin
Muhammad Ba-Fadhal
8) Al-Habib
Abd-Allah bin Alawi al-Attas
9) Al-Habib Muhammad
bin Salim bin Hafeez
10) Al-Habib Ahmad
Mashhur al-Haddad
11) Al-Habib
Abd-al-Qadir al-Saqqaf
Dari Syria:
1) Shaykh
Abu-al-Yasar ibn Abidin, Mufti Syria
2) Shaykh As-Sayyid
al-Sharif Muhammad al-Makki al-Kattani, Mufti Maliki
3) Shaykh Muhammad
As‘ad al-Abaji, Mufti Shafi‘e
4) Shaykh As-Sayyid
Muhammad Salih al-Farfur
5) Shaykh Hasan
Habannakah al-Maydani
6) Shaykh
Abd-al-Aziz ‘Uyun al-Sud al-Himsi
7) Shaykh Muhammad
Sa‘id al-Idlabi al-Rifa‘i
Dari Mesir:
1) Shaykh As-Sayyid
Muhammad al-Hafiz al-Tijani, Imam Hadith di Mesir
2) Shaykh Hasanayn
Muhammad Makhluf, Mufti Mesir
3) Shaykh Salih
al-Ja‘fari, Imam Masjid Al-Azhar
4) Shaykh Amin
Mahmud Khattab al-Subki
5) Shaykh Muhammad
al-‘Aquri
6) Shaykh Hasan
al-‘Adawi
7) Shaykh As-Sayyid
Muhammad Abu-al-‘Uyun al-Khalwati
8) Shaykh Dr.
Abd-al-Halim Mahmud, Syeihkul Azhar
Dari Afrika Utara
(Maghribi, Algeria, Libya dan Tunisia):
1) Shaykh As-Sayyid
As-Sharif Abd-al-Kabir al-Saqali al-Mahi
2) Shaykh As-Sayyid
Abd-Allah bin Al-Siddiq Al-Ghimari, Imam Hadith
3) Shaykh As-Sayyid
Abd-al-Aziz bin Al-Siddiq al-Ghimari
4) As-Sharif Idris
al-Sanusi, Raja Libya
5) Shaykh Muhammad
At-Tahir ibn ‘Ashur, Imam Zaytunah, Tunis
6) Shaykh al-Tayyib
Al-Muhaji al-Jaza’iri
7) Shaykh Al-Faruqi
Al-Rahhali Al-Marrakashi
8) Shaykh As-Sayyid
As-Sharif Muhammad al-Muntasir al-Kattani
Dari Sudan:
1) Shaykh Yusuf
Hamad An-Nil
2) Shaykh Muddassir
Ibrahim
3) Shaykh Ibrahim
Abu-an-Nur
4) Shaykh At-Tayyib
Abu-Qinayah
Dari Rantau
Indo-Pak:
1) Shaykh
Abu-al-Wafa al-Afghani Al-Hanafi
2) Shaykh Abd-al-Mu‘id
Khan Hyderabadi
3) Al-Imam Al’Arif
Billah Mustafa Rida Khan al-Barelawi, Mufti India
4) Mufti Muhammad
Shafi’ Al-Deobandi, Mufti Pakistan
5) Mawlana Muhammad
Zakariyya Al-Kandahlawi, Imam Hadith
6) Mawlana Zafar
Ahmad Thanawi
7) Shaykh
Al-Muhaddith Habib-al-Rahman Al-‘Azami
8) Sayyid
Abu-al-Hasan Ali An-Nadawi
Senarai ini hanya
merupakan ulamak masyhur yang Syaikh kita telah mendapat ijazah darinya,
dan di sana terdapat ramai lagi yang tidak disebutkan. Pada As-sayyid
Muhammad Alawi, seseorang akan mendapati nilai terbaik dari para Masyaikh
ini dalam pelabagai latarbelakang dan pengkhususan.
Karier Mengajar
Kalimah karier
sebenarnya mungkin tidak sesuai untuk digunakan untuk menggambarkan
aktiviti mengajar As-Sayyid Muhammad, kerana kalimah ini amat hampir
kaitannya dengan keuntungan material. Sementara beliau, seperti mana
Masyaikh tradisi yang lain, juga seperti keturunannya sebelum beliau,
mengajar hanya kerana Allah dan tidak mengharapkan keuntungan material
langsung.
'
Malahan, beliau
menempatkan sejumlah besar pelajar di rumahnya sendiri, menyediakan untuk
mereka makan minum, penginapan, pakaian, kitab-kitab serta segala keperluan
mereka. Sebagai balasan, mereka hanya diminta mengikuti peraturan dan etika
penuntut ilmu agama yang suci. Pelajar-pelajar ini biasanya menetap bersama
beliau bertahun-tahun lamanya, mempelajari pelbagai cabang ilmu Islam, dan
seterusnya kembali ke negeri masing-masing. Ratusan dari para pelajar telah
menuntut di kaki beliau dan telah menjadi pelopor pengetahuan Islam dan
kerohanian di negara mereka, terutamanya di Indonesia, Malaysia, Mesir,
Yaman dan Dubai.
Bagaimanapun apabila
pulang dari Al-Azhar, beliau dilantik sebagai Profesor Pengajian Islam di
Universiti Ummul Qura di Makkah, yang mana beliau telah mengajar sejak
tahun 1970.
Pada tahun 1971,
sebaik bapanya meninggal dunia, para ulamak Makkah meminta beliau untuk
menggantikan tempat bapanya sebagai guru di Masjidil Haram. Beliau
menerimanya, lantas menduduki kedudukan yang telah diduduki oleh
keluarganya lebih dari seabad. Beliau juga kadang kala mengajar di Masjid
Nabi di Madinah. Kuliah pengajian beliau merupakan kuliah yang paling ramai
dihadiri di kedua-dua Tanah Haram.
Bagaimanapun pada
awal tahun 80-an, beliau telah mengosongkan kedudukan mengajarnya di Universiti
Ummul Qura juga kerusi warisannya di Masjidil Haram, memandangkan fatwa
dari sebahgian ulamak fanatik fahaman Wahhabi, yang menganggap kewujudannya
sebagai ancaman kepada ideologi dan kekuasaan mereka.
Sejak itu, beliau
mengajar kitab-kitab agung Hadith, Fiqh, Tafsir dan Tasawwuf di rumah dan
masjidnya di Jalan Al-Maliki di Daerah Rusayfah, Makkah. Kuliah-kuliah
umumnya antara waktu Maghrib dan Isyak dihadiri tidak kurang daripada 500
orang setiap hari. Ramai pelajarnya daripada Universiti menghadiri
pengajiannya di waktu malam. Sehingga malam sebelum beliau meninggal dunia,
majlisnya dipenuhi penuntut.
Sayyid Muhammad
Alawi Al-Maliki amat dihormati oleh Kerajaan Arab Saudi dan selalu diminta
nasihat dari Raja sendiri dalam urusan-urusan yang penting. Beliau juga
dilantik sebagai ketua juri dalam Musabaqah Qur’an antarabangsa di Makkah
selama tiga tahun berturut-turut.
Tulisan Beliau
Sayyid Muhammad
merupakan seorang penulis prolifik dan telah menghasilkan hampir seratus
buah kitab. Beliau telah menulis dalam pelbagai topik agama, undang-undang,
social serta sejarah, dan kebanyakan bukunya dianggap sebagai rujukan utama
dan perintis kepada topik yang dibicarakan dan dicadangkan sebagai buku
teks di Institusi-institusi Islam di seluruh dunia.
Kita sebutkan
sebahagian hasilnya dalam pelbagai bidang:
Aqidah:
1) Mafahim Yajib an
Tusahhah
2) Manhaj As-salaf
fi Fahm An-Nusus
3) At-Tahzir min
al-Mujazafah bit-Takfir
4) Huwa Allah
5) Qul Hazihi
Sabeeli
6) Sharh ‘Aqidat
al-‘Awam
Tafsir:
1) Zubdat al-Itqan
fi ‘Ulum al-Qur’an
2) Wa Huwa bi
al-Ufuq al-‘A’la
3) Al-Qawa‘id
al-Asasiyyah fi ‘Ulum al-Quran
4) Hawl Khasa’is
al-Quran
Hadith:
1) Al-Manhal
al-Latif fi Usul al-Hadith al-Sharif
2) Al-Qawa‘id
al-Asasiyyah fi ‘Ilm Mustalah al-Hadith
3) Fadl al-Muwatta
wa Inayat al-Ummah al-Islamiyyah bihi
4) Anwar al-Masalik
fi al-Muqaranah bayn Riwayat al-Muwatta lil-Imam Malik
Sirah:
1) Muhammad
(Sallallahu Alaihi Wasallam) al-Insan al-Kamil
2) Tarikh
al-Hawadith wa al-Ahwal al-Nabawiyyah
3) ‘Urf al-Ta’rif bi
al-Mawlid al-Sharif
4) Al-Anwar
al-Bahiyyah fi Isra wa M’iraj Khayr al-Bariyyah
5) Al-Zakha’ir
al-Muhammadiyyah
6) Zikriyat wa
Munasabat
7) Al-Bushra fi
Manaqib al-Sayyidah Khadijah al-Kubra
Usul:
1) Al-Qawa‘id
al-Asasiyyah fi Usul al-Fiqh
2) Sharh Manzumat
al-Waraqat fi Usul al-Fiqh
3) Mafhum
at-Tatawwur wa altTajdid fi al-Shari‘ah al-Islamiyyah
Fiqh:
1) Al-Risalah
al-Islamiyyah Kamaluha wa Khuluduha wa ‘Alamiyyatuha
2) Labbayk Allahumma
Labbayk
3) Al-Ziyarah
al-Nabawiyyah bayn as-Shar‘iyyah wa al-Bid‘iyyah
4) Shifa’ al-Fu’ad
bi Ziyarat Khayr al-‘Ibad
5) Hawl al-Ihtifal
bi Zikra al-Mawlid al-Nabawi al-Sharif
6) Al-Madh al-Nabawi
bayn al-Ghuluww wa al-Insaf
Tasawuf:
1) Shawariq al-Anwar
min Ad‘iyat al-Sadah al-Akhyar
2) Abwab al-Faraj
3) Al-Mukhtar min
Kalam al-Akhyar
4) Al-Husun
al-Mani‘ah
5) Mukhtasar
Shawariq al-Anwar
Lain-lain:
1) Fi Rihab al-Bayt
al-Haram (Sejarah Makkah)
2) Al-Mustashriqun
Bayn al-Insaf wa al-‘Asabiyyah (Kajian Berkaitan Orientalis)
3) Silatu Riyadhah
Biddin (Hubungan Sukan dengan Agama)
4) Al-Qudwah
al-Hasanah fi Manhaj al-Da‘wah ila Allah (Teknik Dawah)
5) Ma La ‘Aynun
Ra’at (Butiran Syurga)
6) Nizam al-Usrah fi
al-Islam (Peraturan Keluarga Islam)
7) Al-Muslimun Bayn
al-Waqi‘ wa al-Tajribah (Muslimun, Antara Realiti dan Pengalaman)
8) Kashf al-Ghummah
(Ganjaran Membantu Muslimin)
9) Ad-Dawah
al-Islahiyyah (Dakwah Pembaharuan)
10) Fi Sabil al-Huda
wa al-Rashad (Koleksi Ucapan)
11) Sharaf al-Ummah
al-Islamiyyah (Kemulian Ummah Islamiyyah)
12) Usul at-Tarbiyah
al-Nabawiyyah (Metodologi Pendidikan Nabawi)
13) Nur an-Nibras fi
Asanid al-Jadd as-Sayyid Abbas (Kumpulan Ijazah Datuk beliau, As-Sayyid
Abbas)
14) Al-‘Uqud
al-Lu’luiyyah fi al-Asanid al-Alawiyyah (Kumpulan Ijazah Bapa beliau,
As-Sayyid Alawi)
15) Al-Tali‘
al-Sa‘id al-Muntakhab min al-Musalsalat wa al-Asanid (Kumpulan Ijazah)
16) Al-‘Iqd al-Farid
al-Mukhtasar min al-Athbah wa al-Asanid (Kumpulan Ijazah)
Senarai di atas
merupakan antara kitab As-Sayyid Muhammad yang telah dihasilkan dan
diterbitkan. Terdapat banyak lagi kitab yang tidak disebutkan dan juga yang
belum dicetak.
Kita juga tidak
menyebutkan banyak penghasilan turath yang telah dikaji, dan diterbitkan
buat pertama kali, dengan nota kaki dan komentar dari As-Sayyid Muhammad.
Secara keseluruhannya, sumbangan As-Sayyid Muhammad amat agung.
Banyak hasil kerja
As-Sayyid Muhammad telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa.
Aktiviti lain
Sayyid Muhammad
merupakan seorang pembimbing kepada ajaran dan kerohanian Islam yang
sebenar dan telah bermusafir ke serata Asia, Afrika, Eropah dan Amerika,
menyeru manusia ke arah kalimah Allah dan Rasul terakhir-Nya Muhammad
Sallahu Alaihi Wassalam.
Di Asia Tenggara
khasnya, As-Sayyid Muhammad secara peribadi telah mengasaskan dan membiayai
lebih 70 buah Sekolah Islam untuk melawan aktiviti dakyah Kristian.
Sejumlah besar penganut Kristian dan Budha telah memeluk Islam di tangannya
hanya setelah melihat Nur Muhammad yang bersinar di wajahnya.
Ke mana sahaja
beliau pergi, para pemimpin, ulamak dan masyarakat di tempat tersebut akan
menyambutnya dengan penuh meriah. Beliau seringkali memberi ceramah kepada
ratusan ribu manusia.
Beliau amat
disayangi dan dicintai oleh Muslimin di seluruh dunia, bukan sahaja kerana
beliau keturunan Rasulullah, tetapi juga kerana ilmunya yang luas,
hikmahnya, akhlak serta watak rohaninya. Beliau juga amat terkenal amat
pemurah dengan ilmu, kekayaan dan masanya.
Pendekatan
Sayyid Muhammad
mengikuti dan menyelusuri tradisi arus utama dan majoriti Islam, jalan Ahlu
Sunnah Waljamaah, jalan toleransi dan sederhana, pengetahuan dan
kerohanian, serta kesatuan dalam kepelbagaian.
Beliau percaya
kepada prinsip berpegang dengan empat mazhab yang masyhur, tetapi tanpa
fanatik. Beliau mengajar rasa hormat kepada ulamak dan Awliyak agung yang
lepas.
Beliau menentang
sikap sewenang-wenangnya mengatakan Muslim lain sebagai Kafir dan Musyrik,
yang telah menjadi tanda dan sifat utama sebahagian fahaman hari ini.
Beliau amat
menentang dan kritis terhadap mereka yang digelar reformis (Islah) abad
ke-20 yang dengan mudah ingin menghapuskan Islam generasi terdahulu
menggunakan nama Islam yang suci.
Beliau juga memahami
bahawa mencela kesemua Ash’ari, atau kesemua Hanafi, Syafi’e dan Maliki,
kesemua sufi, seperti mana yang dilakukan oleh sebahagian fahaman hari ini
adalah sama dengan mencela keseluruhan Ummah Islam ribuan tahun yang
lampau. Ia hanya merupakan sifat dan pendekatan musuh Islam, dan bukannya
rakan.
Sayyid Muhammad juga
amat mempercayai bahawa ulamak – ulamak Mazhab yang agung - mengikuti
Sunni-Sufi - sejak beratus tahun yang lalu, adalah penghubung kita kepada
Al-Quran dan Assunnah, dan bukanlah penghalang antara keduanya dengan kita,
seperti yang dipercayai sesetengah pihak.
Kefahaman yang benar
berkenaan Al-Quran dan Sunnah ialah kefahaman yang berasaskan tafsiran para
ulamak agung Islam, dan bukan dengan sangkaan para ekstrimis zaman moden
ini yang tidak berfikir dua kali sebelum mencela majoriti Muslim di seluruh
dunia. Sayyid Muhammad juga berpendapat majoriti ummah ini adalah baik.
Kumpulan-kumpulan minoriti
yang fanatiklah yang
perlu mengkaji semula fahaman ekstrim mereka.
Sayyid Muhammad
merupakan pendukung sebenar Sufi yang berasaskan Syariah, Sufi para Awliya’
agung dan solehin ummah ini. Beliau sendiri merupakan mahaguru kerohanian
di tingkat yang tertinggi, berhubungan dengan kebanyakan peraturan
kerohanian Islam, melalui para Masyaikh Tariqah yang agung.
Beliau turut
mempercayai bahawa membaca Zikir, samaada secara bersendirian atau
berkumpulan, adalah bahagian penting dalam kerohanian seseorang. Semua
pelajarnya dimestikan bertahajjud dan membaca wirid pagi dan petang.
Sayyid Muhammad juga
beranggapan, ummat Islam perlu menggunakan segala hasil yang ada untuk
meningkatkan taraf ummah mereka dari sudut kerohanian, masyarakat dan juga
material, dan tidak membuang masa yang berharga dengan berbalah pada
perkara-perkara kecil. Beliau percaya Muslim tidak seharusnya mencela satu
sama lain dalam perkara yang telah diselisihkan oleh para ulamak. Mereka
sebaliknya perlu berganding bahu bersama untuk memerangi apa yang telah disepekati
sebagai kejahatan dan dosa.
Pandangan dan
pendirian Sayyid Muhammad ini digambarkan dalam tulisannya yang terkenal,
Mafahim Yajib An Tusahhah (Kefahaman Yang Perlu Diperbetulkan), sebuah buku
yang mendapat penghargaan meluas di seluruh dunia Islam dan diiktiraf
tinggi di lingkaran para ulama.
Penutup
Tidak diragui lagi,
kehadiran Sayyid Muhammad Alawi merupakan rahmat buat ummah ini. Beliau
merupakan waris kepada kekasih kita Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam
dari sudut darah daging serta kerohanian. Masyarakat Makkah dan Madinah
teramat mencintai beliau seperti mana dilihat pada solat jenazah beliau.
Siapa sahaja yang
pernah menemui beliau jatuh cinta dengan beliau. Rumahnya di kota suci
Makkah sentiasa terbuka sepanjang tahun untuk ulamak dan para penuntut yang
menziarahi, ribuan orang yang menuju kepadanya. Beliau juga tidak kenal
erti takut dalam berkata yang benar dan telah mengalami detik-detik
kepayahan kerana kebenaran. Walaubagaimanapun pertolongan Allah kelihatan
sentiasa bersama dengannya. RadhiyAllahu Anhu WaArdhaah. Ameen.
Maklumat lanjut
kehidupan dan pencapaiannya boleh dirujuk biografinya yang hebat bertajuk,
Al-Maliki ‘Alim Hijjaz, karangan penulis dan sejarahwan terkenal Makkah, Dr
Zuhayr Kutbi.
Pemergiannya
Beliau telah meninggalkan
kita pada hari Jumaat, 15 Ramadhan (bersesuaian dengan doanya untuk
meninggal dunia pada bulan Ramadhan), dalam keadaan berpuasa di rumahnya di
Makkah. Kematiannya amat mengejutkan.
Benar, ia adalah
satu kehilangan yang besar. Ucapan takziah diucapkan dari seluruh dunia
Islam. Solat jenazah beliau dilakukan di seluruh pelusuk dunia.
Beliau telah pergi
pada bulan Ramadhan dan pada hari Jumaat. Saya adalah antara yang
menunaikan solat jenazah (pertama di rumah beliau diimamkan oleh adiknya
As-Sayyid Abbas, dan seterusnya di Masjidil Haram dengan Imam Subayl).
Ratusan ribu manusia membanjiri upacara pengebumiannya. Semua orang
menangis dan sangat bersedih. Ia merupakan satu situasi yang tidak dapat
dilupakan. Allahu Akbar.
Betapa hebatnya
beliau, betapa besarnya kehilangan ini. Betapa ramainya yang
menyembahyangkannya. Saya tahu mata saya tidak pernah menyaksikan seorang
sepertinya. Seorang yang amat dicintai oleh masyarakat seperti beliau,
seorang ulama yang berkaliber dan berpengetahuan serta berhikmah.
Terdapat
sekurang-kurangnya 500 orang tentera diperintah oleh kerajaan Arab Saudi di
perkuburan Ma’ala untuk mengawal ribuan orang yang menangisinya. Kerabat
diraja juga turut hadir. Para manusia menempikkan Kalimah dengan kuat
sepanjang uapcara pengebumian beliau, memenuhi Makkah dari Masjidil Haram
sehingga ke tanah perkuburan.
Beliau disemadikan
di sebelah bapanya, berhampiran maqam nendanya Sayyidah Khadijah. Sebelum
beliau meninggal dunia, beliau ada menghubungi seorang pelajar lamanya di
Indonesia melalui telefon dan bertanyanya adakah dia akan datang ke Makkah
pada bulan Ramadhan. Apabila dia menjawab tidak, Sayyid Muhammad bertanya
pula, "tidakkah engkau mahu menghadiri penegebumianku?"
Tepat sekali, beliau
pergi pada bulan Ramadhan di pagi Jumaat. Apakah lagi bukti yang diperlukan
menunjukkan penerimaan Allah?! Makkah menangisi pemergiannya. Seluruh dunia
Islam menangisi kehilangannya. Moga Allah menganugerahkan beliau tempat
yang tertinggi di Jannah, bersama-sama kekasihnya dan datuknya Rasulullah
Sallahu Alaihi Wasallam. Amin.
Sumber:
- Sejarah Ringkas
As-Sayyid Muhammad bin Alawi bin Abbas Al-Maliki Al-Hasani (Rahmatullahi
Alaih oleh muridnya, Fakhruddin Owaisi Al-Madani
|