Habib Alwi bin
Thahir Al-Haddad, Penulis Hebat, Sejarawan dan Mufti Johor
Jika berbicara
tentang sesuatu persoalan, beliau memaparkan segala seginya dan
menguatkannya dengan dalil-dalil aqli dan naqli. Beliau seorang yang
memiliki ghirah (kecemburuan) terhadap Islam dan menjadi pembelanya. Di
samping itu, beliau juga pembela keluarga Rasulullah SAW. aktif berhubungan
dengan para ahli ilmu di berbagai tempat di seluruh dunia Islam, dan selalu
menghindari pertentangan-pertentangan mazhab.
Nama lengkapnya
ialah Habib Alwi bin Thahir Al-Haddad bin Abdullah bin Thaha Abdullah bin
Umar bin Alwi bin Muhammad bin Alwi bin Ahmad bin Abi Bakar Abu Thahir
Al-Alawi asy-Syarif al-Huseini. Sampai nasabnya kepada Sayidina Ali bin Abi
Thalib yang kahwin dengan Sayidatina Fatimah binti Nabi Muhammad SAW. Habib
Alwi bin Thahir Al-Haddad lahir di Bandar Qaidun, Hadhramaut, Yaman pada 14
Syawal 1301 H/ 7 Ogos 1884 M.
Pendidikannya
Habib Alwi bin
Thahir Al-Haddad sedari kecil telah bercita-cita menjadi ulama. Ini didukung
oleh kecerdasan dan keteguhannya dalam menuntut ilmu, dan selalu menyertai
ulama-ulama besar sehingga dapat mencapai puncak keilmuannya dan
menghimpunkan berbagai ilmu naqli dan aqli yang membuatnya melebihi
rekan-rekan seangkatannya. Bahkan, Sayid Alwi mampu melakukan istinbat dan
ijtihad yang cermat dan tidak dapat dicapai oleh sebagian orang.
Guru-gurunya di
Hadhramaut ialah Habib Ahmad bin al-Hasan al-Attas al-Alawi, Habib Thahir
bin Umar al-Haddad, dan Habib Muhammad bin Thahir al-Haddad. Banyak bidang
ilmu tradisi yang beliau peroleh daripada keluarganya sendiri yang
berketurunan Nabi Muhammad SAW.
Sayid Alwi sangat
menggemari pelajaran Hadits. Berkali-kali Sayid Alwi al-Haddad menamatkan
kitab As-Sittah, Riyadh ash-Shalihin, Bulugh al-Maram, Jami’ ash-Shaghir.
Untuk memperdalam ilmu hadits Sayid Alwi al-Haddad mempelajari kitab-kitab
mengenai sanad hadits seperti ad-Dhawabidh al-Jaliyah fi al-Asanid
al-‘Aliyah karya Syeikh al-Allamah al-Musnid Syamsuddin Abdullah bin Fathi
al-Farghali al-Hamisyi. Demikian juga kitab ats-tsabat yang berjudul
as-Samth al-Majid karya Syeikh al-Allamah al-Musnid Shafiyuddin Ahmad bin
Muhammad al-Qasyasy al-Madani. Sayid Alwi al-Haddad telah berhasil
memperoleh ilmu dan ijazah daripada para gurunya serta dengan sanad-sanad
yang bersambung sampai Rasulullah SAW.
Selain guru
tersebut, Sayid Alwi al-Haddad juga memperoleh ilmu daripada ayah
saudaranya Imam Habib Abdullah bin Thaha al-Haddad, juga dengan Habib
Thahir bin Abi Bakri al-Haddad. Guru-guru beliau yang lain adalah
al-Mu’ammar Sirajuddin Umar bin Utsman bin Muhammad Ba Utsman al-Amudi
ash-Shiddiqi al-Bakari. Sayid Alwi al-Haddad juga sempat mendengar riwayat
hadits dari Sayid ‘Abdur Rahman bin Sulaiman al-Ahdal yang wafat tahun 1250
H/1834 M.
Diriwayatkan bahawa
Sayid Alwi al-Haddad ialah seorang yang sangat cergas. Sedikit saja belajar
namun penguasaan akan ilmu pengetahuannya langsung meningkat. Pada umur 12
tahun, Sayid Alwi al-Haddad menghatamkan Ihya ‘Ulumidin karya Imam
al-Ghazali. Dalam usia 17 tahun ia telah mengajar dan mengajar kitab yang
besar-besar dan ilmu yang berat-berat seperti ilmu tafsir, hadits, fiqh,
usul fiqh, tarikh, falak, nahwu, shorof, balaghah, filsafat dan tasawuf.
Beliau juga memiliki
karangan-karangan yang banyak dan kajian-kajian di berbagai surat kabar
dalam bermacam-macam persoalan kemasyarakatan, politik, aqidah, sejarah dan
fatwa yang mencapai 13000 masalah.
Sebagai ulama dan
mufti, ia kerap diminta untuk berpidato dan memberikan ceramah pada
pertemuan-pertemuan umum. Ceramah yang disampaikannya di depan Jong
Islamieten Bond (Perkumpulan Pemuda Muslimin) telah diterbitkan dalam dua
bahasa: Indonesia dan Arab. Pemimpin Sarekat Islam yang terkenal, Haji
Oemar Said Cokroaminoto sering berhubungan dengannya. Ketika dia sedang mengarang
buku tentang sejarah Nabi dalam bahasa Indonesia, dia menunjukkan kepada
Sayid Alwi yang kemudian memeriksanya dan memberikan kata pengantar untuk
buku itu. Pertama kali buku itu dapat diterbitkan atas biaya seorang
dermawan dan kemudian buku itu dapat diterbitkan untuk yang kedua kalinya.
Karya-Karyanya
Sayid Alwi memiliki
karangan-karangan yang banyak yang akan kami sebutkan berikut ini agar
dapat diketahui betapa luas pengetahuannya. Beberapa diantara karangannya
adalah:
1. Anwar al-Quran
al- Mahiyah li Talamat Mutanabi’ Qadyani (dua jilid).
2. Al-Qaul al-Fashl
fi ma li al-Arab wa Bani Hasyim min al-Fadhal. Kitab ini terdiri daripada
dua jilid. Kandungannya merupakan sanggahan terhadap fahaman pembaharuan
Islam yang dibawa oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati as-Sudani.
3. Al-Khulashah
al-Wafiyah fi al-Asanid al-’Aliyah. Kitab ini menggunakan nama keseluruhan
guru Saiyid Alwi al-Haddad tentang qiraat dan ijazah.
4. ‘Iqd al-Yaqut fi
Tarikh Hadhramaut.
5. Kitab as-Sirah
an-Nabawiyah asy-Syarifah.
6. Dalil Khaidh fi
‘Ilm al-Faraidh.
7. Thabaqat
al-’Alawiyin (sepuluh jilid).
8. Mu’jam
asy-Syuyukh.
9. ‘Uqud al-Almas bi
Manaqib al-Habib Ahmad bin Hasan al-’Athas.
10. Kumpulan Fatwa
(berisi sekitar 12000 fatwa)
11. Kitab tentang
hukum-hukum nikah dan qadha dalam bahasa Melayu (diterbitkan dalam dua
jilid)
Sekiranya kita
sempat membaca keseluruhan karya Saiyid Alwi al-Haddad yang tersebut di
atas, dapat disimpulkan bahawa sangat luas pengetahuan yang beliau
bahaskan. Saiyid Alwi al-Haddad diakui sebagai seorang tokoh besar dalam
bidang sejarah, ahli dalam bidang ilmu rijal al-hadis.
Lebih khusus lagi
sangat mahir tentang cabang-cabang keturunan ‘al-’Alawiyin’ atau keturunan
Nabi Muhammad s.a.w.. Setahu saya memang tidak ramai ulama yang
berkemampuan membicarakan perkara ini selain Saiyid Alwi al-Haddad. Boleh
dikatakan tidak ada ulama dunia Melayu menulisnya secara lengkap. Sekiranya
ada juga ia dilakukan oleh orang Arab keturunan Nabi Muhammad s.a.w.
seperti yang pernah dilakukan Saiyid Utsman bin Abdullah bin Aqil bin Yahya
al-Alawi, Mufti Betawi.
Saiyid Alwi
al-Haddad ialah seorang ulama yang berpendirian keras dan tegas
mempertahankan hukum syarak. Gaya berhujah dan penulisan banyak persamaan
dengan yang pernah dilakukan oleh Saiyid Utsman bin Abdullah bin Aqil bin
Yahya al-Alawi, Mufti Betawi. Saiyid Alwi al-Haddad selain menyanggah
pendapat dan pegangan Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati yang lebih keras
dibantahnya ialah A. Hassan bin Ahmad Bandung.
Bukan Saiyid Alwi
al-Haddad saja yang menolak pegangan A. Hassan bin Ahmad Bandung tetapi
perkara yang sama juga pernah dilakukan oleh Haji Abu Bakar bin Haji Hasan
Muar. Sanggahan Haji Abu Bakar Muar terhadap A. Hassan Bandung berjudul
Majlis Uraian Muar-Johor. Di bawahnya dijelaskan judul, “Pada menjawab dan
membatalkan Al-Fatwa pengarang Persatuan Islam Bandung yang mengatakan babi
itu najis dimakan bukan najis disentuh dan mulut anjing pun belum tentu
najisnya.” Sebenarnya apabila kita meninjau sejarah pergolakan Kaum Tua dan
Kaum Muda dalam tahun 1930-an itu dapat disimpulkan bahawa semua golongan
‘Kaum Tua’ menolak pemikiran A. Hassan Bandung itu khususnya Kerajaan Johor
yang muftinya ketika itu Saiyid Alwi al-Haddad yang mengharamkan
karya-karya A. Hassan Bandung di Johor.
Mengembara
Sayid Alwi al-Haddad
mengembara ke pelbagai negara untuk berdakwah dan mengajar, di antaranya
Somalia, Kenya, Mekah, Indonesia, Malaysia dan lain-lain. Di Jakarta, Sayid
Alwi al-Haddad pernah mengajar di Madrasah Jam’iyah al-Khair yang didirikan
oleh keturunan Sayid di Indonesia. Madrasah Jam’iyah al-Khair ialah sekolah
Islam yang mengikut sistem pendidikan moden yang pertama di Indonesia,
Sayid Alwi al-Haddad pula termasuk salah seorang guru yang pertama sekolah.
Jabatan pertama Sayid Alwi adalah Wakil Mudir sekolah. Sementara itu,
Mudirnya ialah Sayid Umar bin Saqaf as-Saqaf.
Para guru
didatangkan dari pelbagai negara. Antara mereka ialah Ustadz Hasyimi yang
berasal dari Tunis, Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati yang berasal dari
Sudan (mengajar di Madrasah Jam’iyah al-Khair tahun 1911 - 1914), Syeikh
Muhammad Thaiyib al-Maghribi yang berasal dari Maghribi, Syeikh Muhammad
Abdul Hamid yang berasal dari Mekah.
Sayid Alwi bin
Thahir termasuk salah seorang pendiri ar-Rabithah al-Alawiyyah di
Indonesia. Selain mengajar di Jakarta beliau juga pernah mengajar di Bogor
dan tempat-tempat lain di Jawa.
Murid-Muridnya
Muridnya sangat
ramai. Antara tokoh dan ulama besar yang pernah menjadi murid Saiyid Alwi
al-Haddad ialah:
1. Saiyid Alwi bin
Syaikh Bilfaqih al-Alawi.
2. Saiyid Alwi bin
Abbas al-Maliki.
3. Saiyid Salim Aali
Jindan.
4. Saiyid Abu Bakar
al-Habsyi
5. Saiyid Muhammad
bin Ahmad al-Haddad.
7. Saiyid Abdullah
bin Abdul Qadir Bilfaqih.
8. Saiyid Husein bin
Abdullah bin Husein al-Attas.
9. Syeikh Hasan
Muhammad al-Masyath al-Makki.
10. Kiyai Haji
Abdullah bin Nuh.
Menjadi Mufti Johor
Akhirnya Kesultanan
Johor di Malaysia memilihnya untuk menjabat sebagai mufti di sana. Beliau
menjabat sebagai mufti Kerajaan Johor dari tahun 1934 hingga tahun 1961.
Sayid Alwi menjadi mufti Johor menggantikan Allahyarham Dato’ Sayid Abdul
Qader bin Mohsen Al-Attas.
Wafatnya
Beliau wafat pada 14
November 1962 (1382 H) dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Mahmoodiah Johor
Bahru. Beliau mempunyai keturunan yang kemudian pindah ke Jazirah Arab
bahagian selatan, di antaranya adalah puteranya Sayid Thahir dan Sayid
Hamid.
|