Pendahuluan
Salahuddin dibesarkan
sama seperti anak-anak orang Kurdis biasa. Pendidikannya juga seperti orang
lain, belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan
diri. Tiada seorangpun yang menyangka sebelum ia menguasai Mesir dan
menentang tentera Salib bahawa anak Kurdis ini suatu hari nanti akan
merampas kembali Palestin dan menjadi pembela akidah Islamiah yang hebat.
Dan tiada siapa yang menyangka pencapaiannya demikian hebat sehingga
menjadi contoh dan perangsang memerangi kekufuran hingga ke hari ini.
Stanley Lane Poole
(1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai anak seorang
governor yang memilliki kelebihan daripada orang lain tetapi tidak
menunjukkan satupun tanda-tanda ia akan menjadi orang hebat pada masa
depan. Akan tetapi ia menunjukkan akhlak yang mulia.
Walau bagaimanapun
Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan
Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya untuk menjadi
pemimpin agung itu. Ketika ia menjadi tentera Al-Malik Nuruddin, Sultan
Aleppo, ia diperintahkan untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu Mesir
diperintah oleh sebuah kerajaan Syi'ah yang tidak bernaung di bawah
khalifah. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis
bahawa Salahuddin sangat berat dan memaksa diri untuk pergi ke Mesir
bagaikan orang yang hendak di bawa ke tempat pembunuhan (Bahauddin, 1234).
Tetapi itulah
sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan firman Allah, "Boleh jadi kamu
membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai
sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu" (Al-Baqarah:216)
Pertukaran Hidup
Salahuddin al Ayubi
Ketika Salahuddin
menguasai Mesir, ia tiba-tiba berubah. Ia yakin bahawa Allah telah
mempertanggung jawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang tak
mungkin dapat dilaksanakan jika ia tidak bersungguh-sungguh. Bahauddin
telah menuliskan dalam catatannya bahwa Salahuddin sebaik-baik sahaja ia
menjadi pemerintah Mesir. Dunia dan kesenangannya telah lenyap dari
pandangan matanya. Dengan hati yang rendah dan syukur kepada Allah ia telah
menolak godaan-godaan dunia dan segala kesenangannya (Bahauddin,1234).
Bahkan Stanley Lane
Poole(1914) telah menuliskan bahwa Salahuddin mengubah cara hidupnya kepada
yang lebih keras. Ia bertambah wara' dan menjalani hidup yang lebih
berdisiplin dan sederhana. Ia mengenepikan corak hidup senang dan memilih
corak hidup "Spartan" yang menjadi contoh kepada tenteranya. Ia
menumpukan seluruh tenaganya untuk satu tujuan yaitu untuk membina
kekuasaan Islam yang cukup kuat untuk menghalau orang kafir dari tanah air
Islam.
Salahuddin pernah
berkata, "Ketika Allah menganugerah kan aku bumi Mesir, aku yakin Dia
juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan ia memenangkan perjuangan
Islam. Sehubungan dengan ia telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad.
Semangat Jihadnya
Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada
jihad di jalan Allah. Bahauddin telah mencatatkan bahawa semangat
Salahuddin yang berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah
menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Ia
sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya,
mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad.
Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya
berkenaan jihad ia akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini
ia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama
sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat
kepercayaannya. Siapa sahaja yang memerhatikannya akan dapat melihat
apabila ia telah memulakan jihat melawan tentera salib ia akan menumpahkan
seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat
tenteranya.
Dalam medan peperangan ia bagaikan seorang ibu
yang garang kehilangan anak tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Ia
akan bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk
mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah
semata-mata. Ia juga akan pergi ke seluruh pelosok tanah air dengan mata
yang berlinang mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.
Ketika ia mengepung Acre ia hanya minum, itupun
selepas dipaksa oleh doktor peribadinya tanpa makan. Doktor itu berkata
bahawa Salahuddin hanya makan beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat
hingga senin kerena ia tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu.
(Bahauddin, 1234)
Peperangan Hittin
Satu siri peperangan yang sengit telah berlaku
antara tentera Salahuddin dengan tentera Salib di kawasan Tiberias di kaki
bukit Hittin. Akhirnya pada 24 Rabiul-Akhir, 583 H, tentera Salib telah
kalah. Dalam peperangan ini Raja Kristian yang memerintah Palestin telah
dapat di tawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesar-pembesar
lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey dari Toron dan
beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga tentera-tentera Salib
berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole menceritakan bahwa
dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang tentera Kristian
yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah.
Mayat-mayat tentera Kristian bertimbun-timbun
seperti batu di atas batu di antara salib-salib yang patah, potongan tangan
dan kaki dan kepala-kepala manusia berguling seperti buah tembikai.
Dianggarkan 30,000 tentera Kristian telah mati dalam peperangan ini.
Setahun selepas peperangan, timbunan tulang dapat dilihat memutih dari
jauh.
Kecintaan Salahuddin kepada Islam
Peperangan Hittin telah menyerlahkan kecintaan
Salahuddin kepada Islam. Stanley Lane-Poole menulis bahawa Salahuddin
berkhemah di medan peperangan semasa peperanggan Hittin. Pada satu ketika
setelah khemahnya didirikan diperintahkannya tawanan perang dibawa ke
hadapannya. Maka dibawalah Raja Palestin dan Reginald dari Chatillon masuk
ke khemahnya. Dipersilakan sang Raja duduk di dekatnya.
Kemudian ia bangun pergi ke hadapan Reginald
lalu berkata, "Dua kali aku telah bersumpah untuk membunuh nya.
Pertama ketika ia bersumpah akan melanggar dua kota suci dan kedua ketika
ia menyerang jamaah haji. Ketahuilah aku akan menuntut bela Muhammad saw
atasnya". Lalu ia menghunuskan pedangnya dan memenggal kepala
Reginald. Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh pengawal dari khemah.
Raja Palestin apabila melihat adiknya dipancung,
ia mengeletar kerana menyangka gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin
menjamin tidak akan mengapa-apakannya sambil berkata, "Bukanlah
kelaziman seorang raja membunuh raja yang lain, tetapi orang itu telah
melanggar segala batas-batas, jadi terjadilah apa yang telah terjadi".
Tindakan Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban
Reginald kepada Islam dan Nabi Muhammad saw. Bahauddin bin Shaddad,
penasihat kepercayaan Salahuddin mencatatkan bila jamaah haji dari Palestin
diserang dicederakan tanpa belas kasihan oleh Reginald, di antara
tawanannya merayu supaya mereka dikasihani. Tetapi Reginald dengan
angkuhnya mengatakan, "Mintalah kepada Nabi kamu, Muhammad, untuk
menyelematkan kamu". Ketika ia mendengar berita ini ia telah berjanji
akan membunuh Reginald dengan tangannya sendiri apabila ia dapat
menangkapnya.
Menawan Baitul Muqaddis
Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan
mudah kepada Salahuddin untuk menawan Baitul Muqaddis. Bahauddin telah
mencatatkan bahawa Salahuddin sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul
Muqaddis hinggakan bukitpun akan mengecut dari bebanan yang dibawa di dalam
hatinya. Pada hari jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari Isra' Mi'raj,
Salahuddin telah memasuki banda suci tempat Rasulullah saw. naik ke langit.
Dalam catatan Bahauddin ia menyatakan inilah
kemengan atas kemengang. Ramai orang yang terdiri dari ulama,
pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa datang merayakan gembira
kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir
semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah
kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang.
Laungan "Allahhu Akbar" dan "Tiada tuhan melainkan
Allah" telah memenuhi langit.
Selepas 90 tahun kini sembahyang Jumaat telah
diadakan semula di Baitul Muqaddid. Salib yang terpampang di 'Dome of Rock'
telah diturunkan. Betapa hebatnya peristiwa ini tidak dapat digambarkan.
Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya hari itu.
Salahuddin yang Penyayang
Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin
semasa peperangan ini sangat jauh berbeda daripada kekejaman musuh
Kristiannya. Ahli sejarah Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole
mengesahkan bahwa kebaikan hati Salahuddin telah mencegahnya daripada
membalas dendam. Ia telah menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan
ketiggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah. Tenteranya
sangat bertanggung jawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah
segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian
diperlakukan tidak baik.
Semua jalan keluar-masuk ke Baitul Muqaddis di
tangannya dan seorang yang amanah telah dilantik di pintu Nabi Daud untuk
menerima wang tebusan daripada orang-orang Kristian yang ditawan.
Lane-Poole juga telah menuliskan bahawa Salahuddin telah mengatakan kepada
pegawainya, "Adikku telah membuat infak, Padri besar pun telah
benderma. Sekarang giliranku pula". Lalu ia memerintahkan pegawainya
mewartakan di jalan-jalan Jerusalem bahawa sesiapa yang tidak mampu
membayar tebusan boleh dibebaskan. Maka berbondong-bondonglah orang keluar
dari pintu St. Lazarus dari pagi hingga ke malam. Ini merupakan sedekah
Salahuddin kepada orang miskin tanpa menghitung bilangan mereka.
Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula
tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama
pada tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan
Tancred menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu
'tersumbat' dengan mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata
disiksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara
rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan
orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencermarkan kesucian gereja
di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan. Maka sangat bernasip
baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan dengan baik oleh
Salahuddin.
Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya
penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka ia
sudah cukup membuktikan dialah seorang penakluk yang paling penyantun dan
baik hati di zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.
Perang Salib Ketiga
Perang Salib pertama ialah kejatuhan Palestin
kepada orang-orang Kristian pada tahun 1099 (490H) manakala yang kedua
telah dimenangi oleh Salahuddin dalam peperangan Hittin pada tahun 583H
(1187M) di mana beberapa hari kemudian ia telah menawan Baitul Muqaddis
tanpa perlawanan. Kekalahan tentera Kristian ini telah menggegarkan seluruh
dunia Kristian. Maka bantuan dari Eropah telah dicurahkan ke bumi Palestin
Hampir semua raja dan panglima perang dari dunia
Kristian seperti Fredrick Barbossa raja Jerman, Richard The Lion raja
England, Philips Augustus raja Perancis, Leopold dari Austria, Duke of
Burgundy dan Count of Flanders telah bersekutu menyerang Salahuddin yang
hanya dibantu oleh beberapa pembesar nya dan saudara maranya serta
tentaranya untuk mempertahankan kehormatan Islam. Berkat pertolongan Allah
mereka tidak dapat dikalahkan oleh tentera bersekutu yang besar itu.
Peperangan ini berlanjutan selama 5 tahun hingga
menyebabkan kedua belah pihak menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah
pihak bersetuju untuk memuat perjanjian di Ramla pada tahun 588H.
Perjanjian ini mengakui Salahuddin adalah pengusa Palestin seluruhnya
kecuali bandar Acra diletakkan di bawah pemerintahan Kristian. Maka
berakhirlah peperangan Salib ketiga.
Lane-Poole telah mencatatkan perjanjian ini
sebagai berakhirnya Perang Suci yang telah berlajutan selama 5 tahun.
Sebelum kemenangan besar Hittin pada bulan Julai, 1187 M, tiada satu inci
pun tanah Palestin di dalam tangan orang-orang Islam. Selepas Perjanjian
Ramla pada bulan September, 1192 M, keseluruhanya menjadi milik mereka
kecuali satu jalur kecil dari Tyre ke Jaffa. Salahuddin tidak ada rasa malu
apapun dengan perjanjian ini walaupun sebahagian kecil tanah Palestin masih
di tangan orang-orang Kristian.
Atas seruan Pope, seluruh dunia Kristian telah
mengangkat senjata. Raja England, Perancis, Sicily dan Austria serta Duke
of Burgundy, Count of Flanders dan beratus-ratus lagi pembesar-pembesar
telah bersekutu membantu Raja dan Putra Mahkota Palestin untuk
mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada pemerintahan Kristian. Walau
bagaimanapun ada raja yang mati dan ada yang balik dan sebahagian
pembesar-pembesar Kristian telah terkubur di Tanah Suci itu, tetapi Tanah
Suci itu masih di dalam tangan Salahuddin.
Selanjutnya Lane-Poole mencatatkan, seluruh
kekuatan dunia Kritian yang telah ditumpukan dalam peperangan Salib ketiga
tidak mengoyangkan kekuatan Salahuddin. Tenteranya mungkin telah jemu
dengan peperangan yang menyusahkan itu tetapi mereka tidak pernah undur
apabila diseru untuk menjualkan jiwa raga mereka di jalan Tuhan. Tenteranya
yang berada jauh di lembah Tigirs di Iraq mengeluh dengan tugas yang tidak
henti-henti, tetapi ketaatan meraka yang tidak pernah berbelah bagi.
Bahkan dalam peperangan Arsuf, tenteranya dari
Mosil (sebuah tempat di Iraq) telah menunjukkan ketangkasan yang hebat.
Dalam peperangan ini, Salahuddin memang boleh memberikan kepercayaan kepada
tentra-tenteranya dari Mesir, Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah
Arab dan bahkan orang-orang Islam dari mana-mana sahaja. Walaupun mereka
berlainan bangsa dan kaum tetapi Salahuddin telah dapat menyatukan mereka
di atas jalan Tuhan dari pada mula peperangan pada tahun 1187 hinggalah berakhirnya
pada tahun 1192.
Lane-Poole juga menuliskan dalam peperangan ini
Salahuddin sentiasa syura. Ia mempunyai majlis syura (musyawarah) yang
membuat keputusan-keputusan ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini
membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam majlis ini tiada siapa yang
mempunyai suara lebih berat tiada siapa yang lebih mempengaruhi fikiran
Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya,
anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya, pembesar-pembesar
tentera, kadi, bendahari dan setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang
sama banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya semuanya menyumbang dalam
kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan perdebatan dalam
majlis itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada Salahuddin.
Kematian Salahuddin
Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah
Salahuddin ke rahmatullah selepas berhempas pulas mengembalikan tanah air
Islam pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin
telah menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin. Pada malam 27 Safar,
12 hari selepas ia jatuh sakit, ia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu
Ja'afar seorang yang wara' telah diminta menemani Salahuddin di Istana
supaya jika ia nazak, bacaan Qur'an dan syahadah boleh diperdengarkan
kepadanya.
Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda
berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi
katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan Qur'an. Dalam masa ini
Salahuddin selalu pingsan dan sedar sebentar. Apabila Syeikh Au Jaafar
membacakan ayat, "Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang
mengetahui yang ghaib dan yang nyata" (Al-Hasyr: 22), Salahuddin
membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira
ia berkata, "Memang benar". Selepas ia mengucapkan kata-kata itu
rohnya pun kembali ke rahmatullah. Masa ini ialah sebelum subuh, 27 Safar.
Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin
tidak meninggalkan harta kecuali satu dinar dan 47 dirham ketika ia wafat.
Tiada rumah-rumah, barang-barang, tanah, kebun dan harta-harta lain yang
ditinggalkan nya. Bahkan harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk
ongkos pengkebumiannya. Keluarganya terpaksa meminjam wang untuk menanggung
ongkos pengkebumian ini. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh seorang
menterinya.
Salahuddin yang Wara'
Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama
Salahuddin telah mencatatkan berkenaan kewarakan Salahuddin. Satu hari ia
berkata bahawa ia telah lama tidak pergi sembahyang berjemaah. Ia memang
suka sembahyang berjemaah, bahkan ketika sakitnya ia akan memaksa dirinya
berdiri di belakang imam. Disebabkan sembahyang adalah ibadah utama yang
diasaskan oleh Rasulullah saw, ia sentiasa mengerjakan sembahyang sunnat
malam. Jika disebabkan hal tertentu ia tidak dapat sembahyang mala, ia akan
menunaikannya ketika hampir subuh. Bahauddin melihatnya sentiasa sembahyang
di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga terakhir di mana ia telah
tersangat lemah dan selalu pingsan.
Tetapi ia tidak pernah tinggal sembahyang
fardhu. Ia tidak pernah membayar zakat kerana ia tidak mempunyai harta yang
cukup nisab. Ia sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada
padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika
wafatnya ia hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar wang emas.
Ia tidak meninggalkan harta.
Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin
tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya sekali apabila
dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika sakitnya pun ia berpuasa sehinggalah
doktor menasihat kannya dengan keras supaya berbuka. Lalu ia berbuka dengan
hati yang berat sambil berkata, "Aku tak tahu bila ajal akan
menemuiku". Maka segera ia membayar fidyah.
Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan
Salahuddin teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi ia tidak pernah
berkesempatan. Pada tahun kewatannya, keinginannya menunaikan haji telah
menjadi-jadi tetapi ditakdirkan. Ia sangat gemar mendengar bacaan Qur'an.
Dalam medan peperangan ia acap kali duduk mendegar bacaan Qur'an para
pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzu' semalam. Ia mendengar
dengan sepenuh hati dan perhatian sehingga air matanya membasahi dagunya.
Ia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah
saw. Ia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis
dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, ia akan pergi mendengar
kuliahnya. Kadang kadang ia sendiri membacakan hadis dengan mata yang
berlinang. Dalam peperangan kadang-kadang ia berhenti di antara musuh-musuh
yang datang untuk mendengarkan hadis-hadis dibacakan kepadanya.
Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada
pertolongan Allah. Ia biasa meletakkan segala harapan nya kepada Allah
terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika ia berada di Jerusalem
yang pada masa itu seolah-olah tidak dapat bertahan lagi daripada kepungan
tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak ia enggan
untuk meninggalkan kota suci itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim
sejuk. Bahaauddin mencatatkan, "Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada
masa itu. Ia menghabis kan masa malam itu dengan bersembahyang dan munajat.
Pada tengah malam saya minta supaya ia berehat
tetapi jawanya, "Ku fikir kau mengantuk. Pergilah tidur sejenak".
Bila hampis subuh akupun bangun dan pergi mendapatkannya. Aku dapati ia
sedang membasuh tangannya. "Aku tidak tidur semalam" katanya.
Selepas sembahyang subuh aku berkata kepadanya, "Kau kena munajat
kepada Allah memohon pertolongan-Nya". Lalu ia bertanya, "Apa
yang perlu ku lakukan?"
Aku menjawab, Hari ini hari Jumaat. Engkau
mandilah sebelum pergi ke masjid Aqsa. Keluarkanlah infaq dengan
senyap-senyap. Apabila kau tiba di masjid, sembahyanglah dua rakaat selepas
azan di tempat Rasulullah saw pernah sembahyang sebelum mi'raj dahulu. Aku
pernah membaca hadis doa yang dibuat di tempat itu adalah mustajab. Oleh
itu kau bermunajad lah kepada Allah dengan ucapan "Ya Tuhanku, aku
telah kehabisan segala bekalanku. Kini aku mohon pertolongan-Mu. Aku
menyerahkan diriku kepada-Mu. Aku yakin hanya Engkau sahaja yang boleh
menolongku dalam keadaan yang genting ini"
Aku mengatakan kepadanya, "Aku sangat
berharap Allah akan mengkabulkan doamu". Lalu Salahuddin melakukan apa
yang ku usulkan. Aku berada di sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi
sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke
tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat
tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan berlaku
di antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa hari
kemudian. Akhirnya mereka membuka khemah-khemah mereka dan berangkat ke
Ramla pada hari Isnin pagi"
Perangai Salahuddin
Siapa yang rapat dengannya mengatakan ia adalah
seorang Islam yang taat kepada Allah, sangat peka kepada keadilan, pemurah,
lembut hati, sabar dan tekun. Bahauddin bin bin Shaddad, penasihat utama
Salahuddin telah mencatatkan ia telah memberikan masa untuk rakyat dua kali
seminggu, iaitu pada hari Isnin dan Selasa. Pada masa ini ia disertai oleh
pembesar-pembesar negara, ulama dan kadi. Semua orang boleh berjumpa
dengannya. Ia sendiri akan membacakan aduan yang diterimanya dan
mengucapkan untuk dituliskan oleh juru tulis tindakan yang perlu diambil
dan terus ditandatanganinya pada masa itu juga. Ia tidak pernah membenarkan
orang meninggalkannya selagi ia belum menyempurnakan hajat orang itu. Dalam
masa yang sama ia sentiasa bertasbih kepada Allah.
Jika ada orang membuat aduan, ia akan
mendegarkan dengan teliti dan kemudian memberikan keputusannya. Sauatu hari
seorang lelaki telah membuat aduan berkenaan Taqiuddin, anak saudaranya
sendiri. Dengan segera ia memanggil anak saudaranya itu dan meminta
penjelasan. Dalam ketika yang lain ada orang yang membuat tuduhan kepada
Salahuddin sendiri. Yang memerlukan penyiasatan. Walaupun tuduhan orang itu
didapati tidak berasas, ia telah menghadiahkan orang itu sehelai jubah dan
beberapa pemberian yang lain.
Ia adalah seorang yang mulia dan baik hati,
lemah lembut, penyabar dan sangat benci kepada ketidak adilan. Ia sentiasa
mengabaikan kesilapan-kesilapan pembantu-pembantu dan khadam-khadamnya.
Jika mereka melakukan kesilapan yang memanaskan hatinya, ia tidak pernah
menyebabkan kemarahannya menjatuhkan air muka mereka. Pada suatu ketika ia
pernah meminta air minum, tetapi entah apa sebabnya air itu tidak diberikan
kepadanya. Ia meminta sehingga lima kali lalu berkata, "Aku hampir
mati kehausan". Ia kemudian meminum air yang dibawakan kepadanya tanpa
menunjukkan kemarahan.
Dalam ketika yang lain ia hendak mandi selepas
mengalami sakit yang agak lama. Didapatinya air yang disediakan agak panas,
lalu ia meminta air sejuk. Sebanyak dua kali khadamnya menyebabkan air
sejuk terpercik kepadanya. Disebabkan ia belum benar-benar sihat, ia merasa
kesejukan tetapi ia hanya berkata kepada khadamnya, "Katakan sajalah
kalau kau tak suka kepadaku". Lalu khadam itu cepat-cepat minta maaf
dan Salahuddin terus memaafkannya.
Bahauddin juga telah mencatatkan beberapa
peristiwa yang menunjukkan sifat pemurah dan baik hati Salahuddin.
Kadang-kadang kawasan yang baru ditawannya pun diberikannya kepada
pengikutnya. Satu ketika ia telah berjaya menawan bandar 'Amad. Lalu
seorang perwira tentera, Qurrah Arslan, menyatakan keinginannya untuk
memerintah bandar itu. Dengan senang hati ia memberikannya. Bahkan dalam
beberapa ketika ia menjualkan hartanya semata-mata untuk membeli hadiah.
Melihat betapa pemurahnya Salahuddin, bendaharinya selalu merahsiakan baki
wang simpanan untuk digunakan semasa kecemasan.
Jika ia tahu, ia akan menyedekahkan khazanah
negara sehingga habis. Salahuddin pernah mengatakan ada orang baginya wang
dan debu sama sahaja. "Aku tahu", kata Bahauddin, "Ia
mengatakan dirinya". Salahuddin tidak pernah membiarkan tetamunya
meninggalkannya tanpa hadiah atau sebarang bentuk pemberian tanda
penghargaan, walaupun tamunya itu seorang kafir. Raja Saida pernah melawat
Salahuddin dan ia menyambutnya dengan tangat terbuka, melayannya dengan
hormat dan mengambil kesempatan menerangkan Islam. Bahkan Salahuddin
sentiasa mengirimkan ais dan buah-buahan kepada Richard the Lion, musuh
ketatnya, ketika Raja inggeris itu sakit.
Hatinya memang sangat lembut hingga ia sangat
mudah terkesan apabila melihat orang dalam kesusahan dan kesedihan. Suatu
hari seorang perempuan Kristian datang mengadu kehilangan bayinya.
Perempuan itu menangis dan meraung di depan Salahuddin sambil menceritakan
bayinya dicuri dari khemahnya. Perempuan itu seterusnya mengatakan ia telah
dimaklumkan hanya Salahuddin sahaja yang boleh mendapatkan bayi itu
kembali. Hatinya tersentuh mendengar cerita perempuan itu lalu iapun turut
menangis. Ia segera memerintah kan pegawai-pegawainya mencari bayi itu di
pasar hamba-sahaya. Tidak lama kemudian bayi itu telah dapat dibawa kembali
lalu dengan rasa gembira mendoakan kesejahteraan Salahuddin.
Bahauddin juga mencatatkan Salahuddin sangat
kasihan belas kepada anak-anak yatim. Bila ia terjumpa anak-anak yatim ia
akan menguruskan supaya ada orang menjadi penjaga anak itu. Kadang-kadang
ia sendiri yang akan menjaga dan membesarkan anak yatim yang ditemuinya. Ia
juga sangat kasihan melihat orang tua atau yang kurang upaya dan akan
memberikan penjagaan yang khas kepada mereka apabila ia bertemu dengan
orang sedemikian.
Kesungguhan dan Semangat
Ketika mengepung bandar Acre, Bahauddin
mencatatkan bahawa Salahuddin mengidap sakit berat yang menyebabkan beliau
sangat susah untuk bangun. Meskipun demikian, ia keluar menunggang kudanya
untuk memeriksa angkatan tenteranya. Bahauddin bertanya kepadanya bagaimana
ia boleh menahan sakitnya. Maka Salahuddin menjawab, "Penyakit akan
meninggalkanku apabila kamu menunggang kuda".
Dalam ketika yang lain ia sebenarnya dalam
keadaan yang lemah akibat sakit tetapi pergi memburu musuh sepanjang malam.
"Apabila ia sakit", kata Bahauddin, Aku dan doktor akan
bersamanya sepanjang malam. Ia tidak dapat tidur akibat menahan sakit,
tetapi apabila pagi menjelang, ia akan menunggang kuda untuk melawan musuh.
Ia menghantar anak-anaknya ke medan perang sebelum memerintahkan orang lain
berbuat demikian. Aku dan doktornya bersamanya sepanjang hari menunggang
kuda sehinggalah musuh berundur apabila senja menjelang. Ia hanya akan
kembali ke khemah selepas memberikan arahan untuk kawalan keselamatan pada
waktu malam".
Dalam kesungguhan, semangat dan ketahanan
rasanya tiada siapa yang boleh menandingi Salahuddin. Kadang-kadang ia
sediri pergi ke kawasan perkhemahan tentera musuh bersama
perisik-perisiknya sekali bahkan dua kali sehari. Ketika berperang ia
sendiri akan pergi merempun celah-celah tentera musuh yang sedang mara. Ia
sentiasa mengadakan pemeriksaan ke atas setiap tenteranya dan memberikan
arahan kepada panglima-panglima tenteranya. Bahauddin ada mencatatkan satu
kisah yang menunjukkan betama beraninya Salahuddin. Salahuddin diberitahu
bahawa ia selalu mendengar bacaan hadis pada masa lapang bukannya ketika
perang. Apabila mendengar perakara ini ia segera mengarahkan supaya
hadis-hadis dibacakan kepadanya ketika peperangan sedang berkecamuk dengan
sengitnya.
Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya
tentera Salib yang datang untuk menentangnya. Dalam bebeerapa ketika,
tentera Salib berjumah sehingga 600,000 orang, tetapi Salahuddin
menghadapinya dengan tentera yang jauh lebih sedikit. Berkat pertolongan
Allah ia menang, membunuh ramai musuh dan membawa ramai tawanan. Ketika
mengepung Acre, pada satu petang lebih dari 70 kapal tentera musuh beserta
senjata berat mendarat pada satu petang.
Boleh dikatakan semua orang merasa gentar
kecuali Salahuddin. Dalam satu peperangan yang sengit semasa kepungan ini,
serangan mendadak besar-besaran dari musuh telah menyebabkan tentera Islam
kalang kabut. Tentera musuh telah merempuh khemah-khemat tentera Islam
bahkan telah sampai ke khamah Salahuddin dan mencabut benderanya. Tetapi
Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya mengatur tenteranya kembali
sehingga ia berjaya membalikkan kekalahan menjadi kemenangan. Musuh telah
kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang 7,000 mayat-mayat.
Bahauddin ada mencatatkan betapa besarnya
cita-cita Salahuddin. Suatu hari Salahuddin pernah berkata kepadanya,
"Aku hendak beri tahu padamu apa yang ada dalam hatiku. Apabila Allah
mentakdirkan seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan
tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, ku berikan arahan-arahanku
yang terakhir lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku akan belayar untuk
menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah. Aku tak akan meletakkan senjata ku
selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi atau jika ajalku
sampai
Salahuddin sebagai ulama
Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang
kukuh. Ia juga mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat mereka.
Bahkan ia mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun ia sebenarnya orang
Kurd. Ia sangat gemar mengumpulkan pengetahuan dan maklumat dari
kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari satu
penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping Qur'an ia juga banyak
menghafal syair-syair Arab.
Lane-Poole juga ada menuliskan bahawa Salahuddin
berpengetahuan yang dalam dan gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang
akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad dan perawi-perawinya, syariah dan usul
figh dan juga tafsir Qur'an.
[Petikan dari Abul Hassan Ali Nadwai. Judul
asli: Saviors of Islamic Spirit.]
|